PendapatUtama

Menteri jangan jadi ‘ignorantʼ

Kempen minta sokong produk muslim bukan boikot produk bangsa lain

HAIRAN apabila jemaah menteri berulang kali menggunakan istilah ‘Kempen Memboikot Produk Bukan Muslimʼ, sedangkan kempen yang sedang hangat dipromosikan adalah ‘Kempen Beli Produk Muslim’ atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Buy Muslim-made Productʼ. Apakah mereka sengaja, pura-pura tidak mahu faham atau memang tidak membaca?

Bahkan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) juga sudah dengan terperinci menjelaskan bahawa kempen ini bukanlah satu kempen rasis seperti disifatkan segelintir menteri ‘kuat melatahʼ.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng nampaknya suka menyebut ‘Kempen Beli Produk Muslimʼ dengan istilahnya sendiri iaitu – kempen boikot barangan orang bukan Islam/bukan Bumiputera. Malah, dikatanya ia satu kempen tidak waras dan tidak wajar kerana kononnya bakal menjejaskan perpaduan rakyat dan negara serta merugikan kepentingan pengguna dalam mendapatkan harga dan mutu kualiti terbaik.

Mesyuarat Jemaah Menteri semalam juga mengeluarkan kenyataan menyifatkan usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam (satu istilah yang diada-adakan oleh mereka sendiri) di negara ini sebagai sangat tidak wajar.

Jabatan Perdana Menteri turut memaklumkan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu.

Wahai jemaah menteri. Lihat dan bacalah fakta kempen. Kempen ini hanyalah sebuah usaha yang digerakkan bagi membantu produk-produk keluaran umat Islam yang masih belum mendapat tempat di pasaran dan masih belum mencapai pengguna di luar sana. 

Mereka memerlukan platform, dan UMMAH dengan bantuan serta kerjasama padu daripada beberapa NGO yang lain membantu menyediakan platform pemasaran kepada pengusaha serta peniaga produk-produk muslim tersebut. 

Apakah sesuatu yang diusahakan ini salah di sisi undang-undang Malaysia, sebuah negara yang majoritinya dihuni umat Islam? Apakah ini memberi ancaman terhadap perpaduan negara atau sebenarnya memberi ancaman kepada golongan kapitalis?  Takut sangatkah mereka produk muslim dapat berdiri gah di Malaysia ini. Maka sebab itu, istilahnya ditukar sesuka hati, malah diperlekeh pula? 

Ralat rasanya apabila kempen sebegini tidak mampu difahami bijak pandai yang memegang tampuk pemerintahan, tidak disokong, malah disalah erti pula oleh kerajaan.

Ainul Illia Meor Suzurudin

Wartawan Ismaweb.net

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker