Dunia

WHO selar negara kaya ‘sibuk’ tempah dos ketiga vaksin COVID-19

Banyak negara lain belum vaksin pekerja kesihatan, golongan rentan

GENEVA, 3 Zulhijjah 1442H, Selasa – Negara-negara kaya tidak seharusnya menempah dos tambahan untuk populasi penduduk mereka yang telah mendapat imunisasi, sedangkan banyak negara lain masih belum menerima vaksin COVID-19, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kematian akibat pandemik COVID-19 sekali lagi meningkat ekoran varian berbahaya Delta, tatkala banyak negara belum menerima dos vaksin secukupnya bagi melindungi kakitangan kesihatan mereka. 

“Varian Delta merebak seluruh dunia dengan begitu pantas, sehingga mendorong lonjakan kes jangkitan dan kematian COVID-19. 

“Apatah lagi, jurang global dalam penyediaan vaksin COVID-19 pula tidak sama rata. Beberapa negara telah menempah berjuta-juta dos ketiga, sedangkan negara lain belum mampu memvaksin pekerja kesihatan dan golongan rentan,” katanya. 

Tedros berkata, syarikat pembuat vaksin seperti Pfizer dan Moderna – yang memohon untuk mendapatkan kebenaran dos ketiga – sudah mencapai tahap vaksinasi yang tinggi. 

Katanya, syarikat berkenaan sepatutnya memberikan dos vaksin itu kepada COVAX, program perkongsian vaksin terutama untuk negara berpendapatan sederhana dan miskin. 

Sementara itu, Ketua Saintis WHO, Soumya Swaminathan berkata, badan kesihatan global setakat ini belum melihat bukti bahawa suntikan dos ketiga diperlukan ke atas individu yang lengkap divaksinasi. 

“Walaupun mungkin dos ‘booster’ diperlukan satu hari nanti, belum ada bukti mengenai perkara itu setakat ini.

“(Keperluan) itu harus berdasarkan sains dan data, bukan kepada syarikat pengeluar yang menyatakan bahawa dos ketiga diperlukan bagi vaksin mereka,” katanya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button