Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

EU bimbang konflik di Yaman

Kesatuan Eropah sokong proses penyelesaian politik dikendali PBB

SANA’A, 3 Muharram 1441H, Selasa – Kesatuan Eropah menyatakan kebimbangannya terhadap serangan udara yang dilancarkan di wilayah Dhamar barat daya Yaman, yang telah mengorbankan puluhan nyawa setakat ini, lapor Agensi Anadolu.

“Serangan ini berlaku ketika ketegangan yang semakin memuncak kebelakangan ini, sekali gus membakar lagi ketegangan serantau yang bakal menyebabkan lebih ramai rakyat menderita,” kata Pejabat Ketua Dasar Luar EU dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan berkenaan dibuat sehari selepas serangan udara yang dilancarkan gabungan – dipimpin Arab Saudi – di penjara Dhamar sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 70 terbunuh dan jumlah mangsa cedera meningkat.

Pada masa sama, EU sekali lagi mengulangi gesaan untuk menghormati undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, khususnya mengenai perlindungan orang awam.

“EU menyokong sepenuhnya proses yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke arah penyelesaian politik yang akan dirundingkan untuk konflik di wilayah itu,” katanya.

Yaman kekal menjadi wilayah bergolak dan terus berdepan situasi keganasan sejak 2014, apabila militan Houthi Iran mengambil alih kebanyakan kawasan, termasuk ibu negara Sanaa.

Konflik terus meningkat apabila Arab Saudi dan sekutunya melancarkan kempen serangan udara besar-besaran, yang menyebabkan lebih 70,000 terbunuh dalam krisis itu sejak 2016, menurut PBB.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close