Berita UtamaKomunitiUtama

Yayasan Ikhlas agih 18,000 daging korban di 5 buah negara

195 lembu, 63 kambing disembelih tahun ini: Penyelaras projek

BANGI, 26 Zulhijjah 1440H, Selasa – Lebih 18,000 bungkusan daging telah diagihkan menerusi Projek Ibadah Korban dan Akikah 2019 yang dianjurkan Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan peduli dan prihatin.

Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir Haji Kamaruddin Kassim berkata, bungkusan daging berkenaan diagihkan di beberapa kawasan pedalaman di lima buah negara iaitu Malaysia (Sabah dan Sarawak), Thailand, Aceh, Kemboja dan Bangladesh.

“Jumlah yang mendapat manfaat adalah lebih dari tahun-tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 18,000 bungkusan daging, dan ini semua berjaya dicapai dengan kepercayaan rakyat Malaysia pada usaha Yayasan Ikhlas,” katanya.

Penyelaras projek, Syafiq Syahmi berkata, sebanyak 195 ekor lembu dan 63 ekor kambing disembelih pada tahun ini.

“Saya bersama beberapa sukarelawan Yayasan Ikhlas telah ke Sabah melaksanakan ibadah korban sebanyak 42 ekor lembu lebih dari 13 kawasan pedalaman bersama komuniti mualaf.

“Setiap tempat korban, kita akan lantik wakil Yayasan Ikhlas sekurang-kurangnya 2 orang untuk turun ke lokasi korban,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Haji Kamaruddin Kassim yang mengambil bahagian melaksanakan ibadah korban di Sarawak berkata, sebanyak 10 ekor lembu dikorbankan dengan kerjasama Yayasan Sime Darby, YADIM, Hikmah, UNIMAS dan Urusetia Saudara Kita (USK).

“Saya ke Kampung Long Busang, Sarawak tahun ni. Ini kali kedua saya jalankan korban di sana. Kali pertama, lembu disembelih di Kudat, kemudian baru bawa daging masuk dalam kampung selama 6 jam. 

“Tapi tahun ni, kita bawa lembu hidup. Sampai saja di Kampung Long Busang, penduduk sangat terkejut sebab tak pernah nampak lembu depan mata sehingga budak-budak panggil lembu korban ini kambing,” ceritanya.

Manakala di Kemboja, ibadah korban dengan kerjasama Akademi Bahasa Arab Hud-Hud dan Koperasi MAIWP dilaksanakansebanyak 58 ekor lembu dan 14 ekor kambing.

Di Bangladesh pula, ibadah korban dilaksanakan di sebelah timur dan selatan Bangladesh termasuklah di dalam kem pelarian Rohingya. 

“Sebanyak 83 ekor lembu dan 49 ekor kambing disembelih di sini dan diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan di kawasan-kawasan pedalaman Bangladesh,” katanya.

Sementara di Thailand, program dijalankan dengan kerjasama Unikl MIIT dengan membawa 30 orang mahasiswa dan 10 orang pensyarah bersama-sama ke Satun, Thailand bagi melaksanakan ibadah korban sebanyak 7 ekor lembu dan 4 ekor kambing.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, program ini membolehkan kita untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan termasuklah fakir dan miskin. 

“Mereka tentunya mereka akan mensyukuri nikmat pemberian daging korban ini, sementara di pihak orang yang menyumbang pula, akan terpancar rasa gembira yang tidak terhingga kerana dapat membantu meringankan kesusahan yang menimpa saudara seislam.

“Saya berharap projek ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan banyak lagi penyertaan dari masyarakat di Malaysia demi membantu saudara-saudara kita yang tidak mampu di dalam dan luar negara,“ katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close