Berita UtamaKolumnisUstaz Zamri bin HashimUtama

Komunis tak percaya Allah

Fahaman beragama ditentang, logik asas kepercayaan

1. BULAN Ogos adalah bulan kemerdekaan. Kemerdekaan adalah satu nikmat Allah SWT yang agung. Kemerdekaan berlaku pada sebuah negara dan juga berlaku kepada seseorang. Kemerdekaan berfikir, kemerdekaan membuat keputusan, kemerdekaan mentadbir negara sendiri adalah contoh-contoh bentuk kemerdekaan.

2. Di dalam Islam, kemerdekaan yang hakiki ialah dengan cara mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Apabila berfikir secara selapis, seolah-olah dengan mengabdikan diri kepada Allah SWT akan membawa kepada perhambaan kepada Allah SWT. Di manakah ada kemerdekaan jika seseorang hamba mengabdikan diri kepada Allah SWT?

3. Sewajibnya kita kembali kepada pemahaman paling asas iaitu pemlik, pencipta seluruh kejadian ini adalah Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Atas ehsan belas kasihanNya jua kita dipilih memakmurkan mukabumi ini. Allah SWT sememangnya berhak memaksa kita untuk mematuhi secara seluruh peraturan dan hukum hakamNya.

4. Analoginya adalah seperti apabila kita terpilih memasuki mana-mana pusat latihan, sudah tentu kita terikat dengan peraturan di situ dan kita bersalah, serta berhak didenda bila kita melanggar peraturan. Kita sewajibnya akur bahawa kehidupan ini dikelilingi nikmat-nikmat Allah SWT. Pematuhan kepada peraturan Allah SWT akan menjadikan kita lebih menikmati nikmat-nikmatNya.

5. Apabila kita menghambakan diri kita hanya kepada Allah SWT, kita telah memerdekakan diri kita dari lemas dalam tuntutan hawa nafsu, kita berjaya meloloskan diri dari godaan syaitan. Kemerdekaan negara yang hakiki adalah memerdekakan negara dari segala sistem ciptaan manusia yang meraikan hawa nafsu dan menuruti kehendak syaitan.

6. Orang yang merdeka ataupun negara yang merdeka, dengan beraninya berkata “jangan” ataupun “tidak” kepada semua sistem yang bersandar kepada hawa nafsu dan pujukan syaitan lantas segera sujud dan patuh kepada sistem Allah SWT. Ini digambarkan di dalam al Quran : Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!(QS al a’laq:6)

7. Sebab itu segala tindakan memerdekakan sesebuah negara tidak hanya terhenti dengan perisytiharan rasmi tarikh-tarikh tertentu sebagai hari kemerdekaan, tetapi mesti diteruskan sehingga benar-benar sistem Allah SWT dapat dilaksanakan.

8. Apabila kita masih terikat dengan sistem kewangan riba, sistem sosial yang mengagungkan hawa nafsu seperti Lesbian Gay Biseksual dan Transgender (LGBT) dan cuba dipakaikan jubah perundangan, menyadur secara pukal demokrasi barat yang meletakkan kehendak majoriti sebagai neraca terakhir, maka kemerdekaan hakiki masih perlu diusahakan.

9. Namun kemerdekaan negara yang difahami secara tradisi juga adalah nikmat yang wajib disyukuri dan hendaklah dijadikan batu loncatan ke arah kemerdekaan yang hakiki.

10. Tidak tergambar bagaimana perjuangan komunis boleh membawa kepada kemerdekaan yang hakiki kerana fahaman ini diasaskan kepada menolak tuhan. Komunisme adalah fahaman yang berkaitan dengan ekonomi, politik dan kemasyarakatan. Ia berdasarkan kebendaan semata-mata dan terbentuk hasil daripada tindak balas fahaman kapitalisme.

11. Antara intipati ajaran ini ialah tidak percaya adanya tuhan dan perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin, dosa pahala dan sebagainya. Mereka menjadikan logik dan kebenaran semata-semata sebagai asas kepercayaan. Walaupun pengikut ajaran ini berbeza mengikut keadaan setempat, konsep ini tetap menjadi asas ajaran komunis. Oleh itu, komunis menentang semua fahaman beragama sekeras-kerasnya.

Ustaz Zamri
Timbalan Mufti Perak Hashim
YDP Isma Ipoh

Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close