Berita UtamaUtama

Fatwa SIS sesat kekal

Mahkamah Tinggi tolak permohonan cabar fatwa dengan kos RM10,000

BANGI, 26 Zulhijjah 1440H, Selasa – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh Sisters In Islam (SIS Forum Berhad), bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Hakim, Datuk Nordin Hassan memutuskan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa SIS Forum Berhad terpesong dari ajaran Islam adalah sah dan tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang. 

Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor ketika dihubungi berkata, permohonan semakan kehakiman itu ditolak dengan kos RM10,000.

“Hakim memutuskan bahawa tidak ada undang-undang yang dicerobohi. Mahkamah Sivil pula tidak ada bidang kuasa untuk meneliti kesahan fatwa berkenaan kerana ianya terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Mereka perlu memohon semakan kehakiman di Mahkamah Syariah bukan Mahkamah Sivil.

“Ada beberapa isu yang diulas Mahkamah Tinggi antaranya sama ada fatwa tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Hakim menegaskan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang berbesar hati dengan keputusan itu berkata, keputusan Mahkamah Tinggi ini diibaratkan sebagai sebuah kemenangan dan hadiah kepada umat Islam di ambang menyambut hari kemerdekaan ke-62 negara ini.

“Saya secara peribadi amat bersyukur dengan keputusan ini. Ini adalah satu hadiah sempena menyambut kemerdekaan, mahkamah telah mempertahankan jati diri negara.

“Salah satunya tunjang keistimewaan negara iaitu agama Islam itu sendiri yang tidak boleh diperkotak-katikkan. Penghakiman ini suatu hadiah di ambang kemerdekaan negara apabila jati diri negara dipertahan dan struktur asas negara yang meletakkan kedudukan istimewa agama Islam dinobatkan,” katanya.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum (Malaysia), Zainah dan Zaid memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Selangor sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan bahawa pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang membuat arahan melalui fatwa itu dengan mengarahkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi supaya menyekat laman sesawang sosial yang melanggar ajaran Islam sebagai bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, mereka turut memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai “company limited by guarantee” adalah tidak tertakluk dan bukan subjek kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close