Berita UtamaUtama

KPM tunggu laporan penuh kes pelajar 13 tahun gantung diri

RM6.8 juta disalur untuk sekolah, institusi pendidikan terjejas ribut

SUNGAI PETANI, 25 Zulhijjah 1440H, Isnin – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih menunggu laporan penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes pelajar berusia 13 tahun, yang bertindak menggantung dirinya akibat tekanan kerana kerja sekolah yang terlalu banyak.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian juga akan menjalankan siasatan sendiri berhubung kes berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan, termasuk mengubah modul pembelajaran sekiranya perlu.

“Saya sedih dengan kejadian ini kerana sepatutnya sekolah menjadi tempat yang gembira untuk pelajar menimba ilmu selain memupuk kasih sayang. Tetapi bila sampai tahap dapat tekanan, itu tidak sepatutnya berlaku.

“Jadi, buat masa ini masih terlalu awal untuk buat apa-apa kerana kita masih sedang tunggu laporan siasatan polis dan kementerian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok yang terjejas akibat ribut Lekima baru-baru ini.

Pada malam Sabtu lepas, pelajar berkenaan ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai bertindak menggantung dirinya di dalam bilik air rumahnya di flat Jalan Paya Terubong, Taman Sri Relau, Georgetown, Pulau Pinang.

Hasil siasatan mendapati remaja terbabit dikatakan kurang berminat untuk belajar, selain prestasi pelajarannya yang agak lemah termasuk sering merungut kepada ibu bapanya mengenai kerja sekolah yang terlalu banyak.

Ketika diminta mengulas kenyataannya dalam laman sosial Twitter mengenai kerajaan akan memastikan semua anak yang hadir ke sekolah mulai 2020 dilengkapi dengan sarapan, Dr Maszlee berkata, program itu akan dimulakan pada tahun hadapan.

“Program makanan percuma ini adalah untuk semua pelajar dan konsepnya adalah kita mahu pastikan semua anak mendapat makanan yang berkhasiat kerana kita mahu bina generasi yang sihat, mendapat zat makanan cukup bagi mendapatkan otak yang cerdik.

“Program ini juga membolehkan pelajar menguasai sivik di mana pelajar akan duduk makan dengan guru, belajar adab makan yang betul termasuk lepas makan kena basuh peralatan sendiri, di mana semua ini dapat melatih disiplin mereka dengan lebih baik,” katanya.

Mengenai tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menghalang anak mereka mendapatkan pendidikan sebagai tanda protes terhadap pelajaran jawi di sekolah, Dr Maszlee berkata, NGO serta masyarakat sepatutnya menggalakkan anak untuk pergi ke sekolah dan bukan sebaliknya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Maszlee berkata, kementeriannya telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM24 juta untuk kerja-kerja pembaikan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah kementerian yang terjejas akibat ribut itu di beberapa buah negeri utara Semenanjung Malaysia, 9 Ogos lepas.

Katanya, sehingga kini sebanyak RM6.8 juta telah disalurkan dan kerja-kerja pembaikan yang berkaitan telah dimulakan.

“KPM sedang memantau kerja-kerja pembaikan di semua sekolah dan institusi pendidikan terbabit selain menjangkakan ia dapat diselesaikan dalam kadar segera mengikut tempoh ditetapkan demi keselesaan dan kemudahan pelajar,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close