Berita UtamaUtama

Jangan malu mengaku Melayu bangsa teras negara

Tiada fakta sejarah nyata kaum India penduduk asal Tanah Melayu

Oleh Fazleen Safina

KUALA LUMPUR, 25 Zulhijjah 1440H, Isnin – Setiap kepimpinan daripada mana-mana parti diingatkan supaya tidak mengubah hakikat bahawa Melayu adalah bangsa teras negara ini.

Profesor Pengajian Dunia Melayu, Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, perkara berkenaan disokong oleh peruntukan Perlembagaan yang sudah dicanang luas sejak dahulu lagi.

“Jangan cuba merendah-rendahkan bangsa Melayu dan jangan segan silu mengaku bahawa Melayu adalah bangsa teras di negara ini.

“Kalau Melayu sendiri pun sudah malu mengaku Melayu sebagai bahasa teras, itulah bangsa Melayu yang layu,” katanya ketika sesi pandangan dan cadangan tokoh semasa Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional, di sini semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa rasmi negara ini, malah menjadi bahasa untuk umat Islam yang perlu dipertahankan oleh rakyat Malaysia.

Memberi contoh berdasarkan kajiannya, beliau berkata, Maharaja Dinasti Ming di China dikatakan telah mengumpul bahasa asing, termasuk bahasa Melayu supaya dijadikan bahasa Islam yang penting di bawah pertubuhan bangsa-bangsa Islam.

“Orang China yang bukan Islam dan tak mengamalkan adat-adat dan budaya Melayu pun mengaku bahasa Melayu adalah bahasa Islam, masakan pula tidak diakui oleh penduduk di negara ini?” kata beliau membidas kenyataan seorang menteri yang mendakwa bahawa Melayu adalah golongan pendatang di Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran mendakwa Melayu adalah golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal adalah penganut agama Hindu.

Beliau mendakwa, masyarakat Hindu telah mula menjejakkan kaki di negara ini sejak 2,500 tahun lalu, kononnya berdasarkan bukti yang terdapat di Lembah Bujang, Kedah.

Menempelak dakwaan itu, Dr Awang berkata, Melayu adalah bangsa yang memiliki tanah Melayu, sekali gus menyangkal dakwaan Kula Segaran itu.

“Beliau tidak pernah tahu sejarah. Tiada fakta sejarah menunjukkan bahawa orang India adalah penduduk asal negara ini.

“Sama juga Islam yang datang kemudian menjadi agama sebagai panduan hidup orang Melayu, ia logik yang sangat mudah yang perlu dipelajari oleh Kula Segaran yang juga sepatutnya masuk sekolah sekali lagi,” katanya.

Malah katanya, dalam satu catatan seorang tokoh menegaskan bahawa Islam adalah agama yang membawa perubahan dalam Tanah Melayu dan ia perlu diperakui kerana ditulis oleh tokoh terkenal.

“Perkara itu menguatkan lagi bukti bahawa Islamlah yang telah membentuk makna Melayu serta memberi kesedaran pada jiwa Melayu apabila ia dinyatakan sebagai bangsa penyatuan umat seluruh alam Melayu yang dianggarkan mempunyai 500 etnik, selain disatukan oleh akidah Islam yang berpaksikan tauhid dan bangsa Melayu,” katanya.

“Jadi perkara asas ini perlu dibuktikan terutamanya melalui sistem pendidikan negara dan bukannya eropah yang menjadi sukatan pelajaran untuk kita,” tegasnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close