Berita UtamaUtama

Gagasan Sejahtera terima kerjasama politik PAS-UMNO

Hadi Awang nasihat Zakir Naik waspada dengan politik negara

PUTRAJAYA, 25 Zulhijjah 1440H, Isnin – Gagasan Sejahtera – yang terdiri daripada PAS, Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) – bersetuju menerima kerjasama politik penyatuan ummah di antara PAS-UMNO di atas kerangka taawun siyasi.

Presiden PAS yang juga Pengerusi Gagasan Sejahtera, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi gabungan itu dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gagasan Sejahtera, di sini hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama di kalangan parti komponen Gagasan Sejahtera dalam aspek visi, misi dan organisasi.

Dalam kerjasama itu, PAS mewakili Gagasan Sejahtera sepertimana UMNO mewakili Barisan Nasional (BN), katanya.

“Mesyuarat juga menumpukan agenda untuk menyelamatkan negara bermasyarakat majmuk dan menyelesaikan masalah rakyat dengan penglibatan semua pihak.

“… Menumpukan kepada usaha untuk menarik sokongan anak muda dan segenap lapisan masyarakat terhadap visi yang diperjuangkan oleh Gagasan Sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat yang turut dihadiri Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Naib Presiden Berjasa, Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, pihaknya telah menasihatkan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik supaya berhati-hati dengan politik negara dalam menyampaikan syarahannya.

“Ini kerana beliau seorang pendakwah, kita hari ini dipisahkan kepada dakwah dan politik. Cuma kita perlu sedar isu ini telah dipolitikkan oleh DAP.

“Sebab itu kita sebagai parti politik, biar kita yang jawab bukan Dr Zakir,” katanya.

Zakir didakwa kononnya membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat India dan Cina di Malaysia ketika ceramah di Kota Bharu, Kelantan sebelum ini sehingga mencetuskan desakan banyak pihak supaya dia dihantar pulang ke negara asalnya.

Selasa lepas, polis mengeluarkan arahan tidak membenarkan semua program berkaitan Zakir dianjurkan di seluruh negara atas faktor keselamatan kerana ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close