Berita Utama

Buang pemimpin rosak ganti lebih berwibawa

Ramai jauhkan diri dari politik sebab muak senario semasa

BANGI, 15 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Hanya dengan menggantikan kepimpinan yang rosak dapat mengubati rasa muak dan bosan anak muda terhadap senario politik semasa Malaysia.

Justeru, anak muda perlu memainkan peranan mereka sebagai pengundi baharu untuk mengubah kepimpinan yang rosak dan menggantikannya kepada yang lebih berwawasan serta berwibawa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon Pejuang Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja, Shaharuzzaman Bistamam berkata, sudah tiba masa anak muda lebih cakna dan terlibat secara langsung dalam politik tanah air kerana negara memerlukan kepimpinan baharu yang matang serta beragenda membangun agama dan bangsa.

“Saya tahu ramai anak muda muak dan bosan dengan senario politik semasa, lantas ramai memilih menjauhkan diri daripada dunia politik, sama seperti saya.

“Namun kita yakin, setiap pemerintahan dan pentadbiran pasti ada tamat tempohnya. Kempimpinan yang rosak perlu diganti dengan kepimpinan yang berwawasan dan berwibawa. Siapa lagi yang akan menggantikan itu jika bukan anak muda hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Merujuk kajian dan tinjauan Indeks Pembangunan Beliau 2020, Shaharuzzaman berkata, belia Malaysia agak terkebelakang dalam aspek pembabitan politik berbanding negara serantau lain seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Ia juga terbukti apabila peratusan mengundi pengundi baharu dan pemilih berumur 18 tahun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini sangat rendah iaitu sekitar lima peratus.

“Apatah lagi nak mengharap anak muda untuk terlibat langsung dengan politik, boleh dikira dengan jari!

“Kita tidak akan ketandusan pelapis yang bakal mengambil alih kepimpinan negara sekiranya anak-anak muda yang berkelayakan serta mempunyai jati diri watan cakna dengan politik negara.

“Saya mengharapkan akan ada peningkatan peratusan anak muda dalam kalangan calon-calon yang bakal bertanding pada PRU15 nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button