Berita UtamaUtama

Tolak pemimpin dayus PRU15

Pemimpin Melayu kena ada jati diri, bukan gadai maruah bangsa

Oleh Fazleen Safina

KUALA LUMPUR, 24 Zulhijjah 1440H, Ahad
– Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mahu khazanah Melayu diangkat semula sama ada dari aspek tamadun, pendidikan, bahasa, seni mahupun budaya bagi mengelakkan negara hilang identiti, berikutan terlalu mengambil hati bangsa lain.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, UMMAH juga menuntut semua hak orang Melayu mesti dikembalikan seperti Tanah Rizab Melayu yang telah digadai dan hak mendapat biasiswa yang telah diambil bangsa lain.

“Selain itu, hak pekerjaan di sektor awam, hak mendapat kemudahan perniagaan, hak memartabatkan bahasa Melayu termasuk tulisan jawi dan semua yang telah dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan.

“Sudah sampai masanya kedudukan mereka (Melayu) ini diangkat ke tempat yang sewajarnya agar pentadbiran negara menjadi lebih makmur dan mendapat keberkatan Allah,” katanya.

Haji Aminuddin yang juga Presiden Isma berkata, cadangan berkenaan bukan bermakna bangsa Melayu menolak keberadaan bangsa-bangsa lain di negara ini, tetapi sebagai peringatan supaya sikap tolak ansur yang diamalkan tidak sehingga menghancurkan nilai bangsa sendiri.

“Terbukti, toleransi yang dianggap mampu mendapat sokongan mereka akhirnya tersungkur di bumi sendiri.

“Jika pemimpin Melayu masih tidak sedar sejarah pahit ini, pasti sejarah akan berulang kembali dan tak mustahil agama dan bangsa ini lenyap di bumi tercinta,” katanya kesal dengan sikap sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tidak memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

Berucap di Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional hari ini, Haji Aminuddin turut mengingatkan pemimpin Melayu supaya tidak mudah terpedaya dengan senyuman dan wang ringgit yang ditabur oleh pihak yang berkepentingan.

“Pemimpin Melayu mesti ada jati diri dan bukan seorang yang dayus, yang sanggup menggadaikan maruah bangsa demi kepentingan dunia.

“UMMAH juga tidak akan teragak-agak untuk menyarankan rakyat menolak pemimpin yang dayus pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close