Berita UtamaUtama

Mazlan Bujang arah kilang di Pasir Gudang kembali operasi?

Adun Puteri Wangsa berkuasa 'menteri' tidak bertindak neutral

BANGI, 24 Zulhijjah 1440H, Ahad – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan permintaan Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang supaya premis perniagaan yang disita di Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang dibenarkan beroperasi semula sebagai amalan tidak sihat dalam kerajaan negeri.

Naib Presiden UMNO itu berkata, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Mazlan wajib bertindak secara neutral dan tidak mempamerkan kecenderungan dan memberi perlindungan langsung kepada mana-mana operasi perniagaan.

“Apatah lagi jika sesuatu operasi perniagaan itu sudah didapati tidak sihat dan disita oleh pihak berkuasa. Sudah tentulah keputusan menyita kilang tersebut oleh pihak berkuasa adalah berdasarkan alasan-alasan yang kuat demi kebaikan semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan polis tular terhadap Mazlan yang juga Adun Puteri Wangsa yang didakwa mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.

Menurut laporan polis bertarikh 22 Ogos itu, Mazlan didakwa telah membuat panggilan kepada pihak berkuasa tempatan dan membuat permintaan supaya kilang kitar semula dan premis perniagaan lain yang telah disita pada 11 Julai 2019 di Kampung Pasir Puteh dibenarkan beroperasi semula.

Khaled percaya, jika benar seperti yang dilaporkan, tindakan ini adalah sangat tidak baik atas beberapa sebab.

Beliau berkata, tindakan itu dengan jelas menunjukkan bahawa wujud campur tangan secara langsung oleh Adun Pakatan Harapan ke atas operasi dan keputusan pihak berkuasa tempatan.

“Yang sangat dikesalkan, beliau tergamak mengutamakan kepentingan material sesetengah pihak berbanding kesejahteraan penduduk tempatan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang penduduk Pasir Gudang masih trauma dengan segala insiden pencemaran yang belum berkesudahan.

“Selain itu, tindakan Mazlan yang mendakwa bahawa beliau mempunyai kuasa bertaraf menteri, sedangkan hanya Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang sahaja yang mempunyai kuasa untuk membuka semula premis perniagaan itu. Pada saya ini adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan salah,” kata beliau.

Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berpandangan sebagai Adun yang menjaga kepentingan semua, Mazlan perlu kekal berkecuali, tidak mencampuri urusan pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang tindakan yang memberi tanggapan yang salah kepada bidang kuasa dan tugas seorang wakil rakyat.

“Saya harap perkara ini akan mendapat penjelasan yang sewajarnya daripada pihak beliau serta pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close