Berita UtamaUtama

142 penagih dadah ditahan

Polis turut rampas 35 gram heroin, syabu bernilai RM2,000

BUTTERWORTH, 23 Zulhijjah 1440H, Sabtu – Seramai 142 penagih dan dua pengedar dadah ditahan dalam operasi khas yang dijalankan di Ujung Batu, di sini, dalam usaha polis membanteras kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang itu di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi oleh bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) SPU bersama JSJN Kontinjen Pulau Pinang di kawasan sarang penagih dadah itu telah menahan semua lelaki berusia 20 hingga 60 tahun berkenaan.

“Polis menjalankan operasi itu sejak 8 Ogos sehingga Khamis lepas dan seramai 131 orang yang ditahan itu adalah penagih dadah, 11 orang ditahan memiliki dadah serta dua lagi adalah pengedar bahan terlarang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, ujian air kencing mendapati semua mereka yang bekerja sendiri dan buruh serta penganggur itu positif dadah.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu, polis turut merampas 30 gram (g) heroin dan 5 g syabu yang semuanya bernilai RM2,000 serta dadah berkenaan boleh digunakan oleh 200 penagih.

Noorzainy berkata, sehingga hari ini, 61 daripadanya telah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala selebihnya dalam proses pendakwaan kerana menunggu laporan kimia serta laporan patologi siap dianalisa.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau dan mengambil tindakan proaktif dalam isu memerangi dadah secara berterusan dengan menjalankan operasi terancang hasil risikan serta intipan dalam usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah.

“Saya juga meminta kerjasama orang ramai untuk bersama-sama menyalurkan maklumat kepada polis berhubung sebarang aktiviti penagihan atau penjualan dadah agar kegiatan tersebut dapat dibanteras habis-habisan,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close