Berita UtamaUncategorizedUtama

SRC: SPRM tak siasat dakwaan Najib terima derma Arab Saudi

Saksi setuju proses siasatan berat sebelah boleh mudaratkan kes

KUALA LUMPUR, 22 Zulhijjah 1440H, Jumaat – Pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pihaknya tidak menyiasat lanjut dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung terdapat mesyuarat antara beliau dan Raja Arab Saudi kerana ia tiada kaitan dengan kes SRC International Sdn Bhd.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Rosli Husain, 54, berkata beliau mengetahui perkara itu ketika percakapan bekas perdana menteri itu dirakam namun tidak membuat siasatan lanjut kerana ia tiada kena mengena dengan kes SRC yang disiasatnya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-57 perbicaraan Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata beliau juga tidak pernah menjalankan siasatan sama ada Najib pernah menerima derma daripada kerabat diraja Arab Saudi dalam akaun peribadinya, seperti dakwaan dalam rakaman percakapan beliau kepada pihak SPRM sebelum ini.

Muhammad Shafee: Ada kamu buat siasatan lanjut mengenai perkara (derma) ini?

Rosli: Tiada, kerana tidak ada kena mengena dengan kes saya (SRC).

Muhammad Shafee: Berdasarkan pengetahuan tertuduh dan sumber dana yang disalur dalam akaun peribadi beliau, salah satu kenyataan dalam pembelaan beliau mengatakan ini adalah sumber derma.

Rosli: Itu adalah dakwaannya.

Muhammad Shafee: Jadi bukankah kamu perlu siasat lebih lanjut?

Rosli: Siasatan hanya dibuat ke atas wang yang masuk ke dalam akaunnya (Najib) sahaja dan hasil siasatan saya menunjukkan wang itu habis digunakan pada Jun 2014…oleh kerana itu, saya tidak buat siasatan lanjut.

Saksi itu turut tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee yang menyatakan sebarang kes yang melalui proses perbicaraan bergantung berat kepada pegawai penyiasatnya untuk menguatkan kes pembelaan atau pendakwaan.

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju proses penyiasatan yang berat sebelah juga boleh memudaratkan kedua-dua kes.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Selasa.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close