Berita UtamaUtama

Anwar gesa himpunan bantah Zakir Naik dihentikan

Teruskan bantahan hanya panaskan suhu politik negara: Presiden PKR

BANGI, 22 Zulhijjah 1440H, Jumaat – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa penganjur himpunan ‘Say No To Zakir Naik’ serta beberapa himpunan lain yang bertujuan sama supaya menghentikan penganjuran kerana tiada keperluan ia diteruskan.

Beliau berkata, meneruskan bantahan itu hanya akan meningkat serta memanaskan suhu politik negara, sekaligus mengundang pelbagai reaksi.

“Keadaan sudah reda malah pendakwah antarabangsa dari India itu juga sudah dilarang untuk berceramah di seluruh negara oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh untuk menyertai himpunan berkenaan bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara.

Petang tadi, masyarakat India berkumpul di Brickfields bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun depan di sekolah vernakular.

Mereka memakai pakaian serba hitam dan membawa poster berwarna merah yang tertulis ‘Kami tidak setuju pelaksanaan tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan SJK Cina’.

Manakala esoknya, di lokasi sama perhimpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians and Other Races’ dijadualkan berlangsung pada jam 2 petang.

Difahamkan, polis telah memberi amaran keras terhadap orang ramai untuk tidak menyertai dua perhimpunan haram itu bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Ini susulan penganjur kedua-dua himpunan itu, gagal mengemukakan notis pemakluman yang lengkap kepada polis.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close