Berita Utama

Meski ada ‘saksi’, PN jangka kerajaan tak dapat buktikan dakwaan dana judi

'Menteri akan ulang dakwa maklumat diterima SPRM tak mencukupi'

BANGI, 11 Zulkaedah 1444H, Rabu – Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menjangkakan kerajaan tidak dapat membuktikan dakwaan gabungan itu menerima dana daripada syarikat perjudian, meskipun ada ‘saksi’ baharu tampil untuk menyerahkan bukti.

Menurutnya, beliau menjangkakan keadaan itu apabila ‘saksi’ hanya hadir selepas enam bulan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa PN menerima dana daripada syarikat judi untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Fadhli berkata, ‘saksi’ terbabit bagaimanapun hadir setelah tular jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman terhadap soalan beliau sebelum ini.

“Saya dapati ramai penyokong kerajaan jadikan ia sebagai satu modal baru, kononnya ‘nah bukti sudah tiba…’

“Oklah, kita terima dan kita minta SPRM siasat. Sesi akan datang saya akan ajukan soalan, ‘Berdasarkan maklumat yang baru diterima SPRM pada hujung bulan Mei yang lalu, setakat manakah siasatan berhubung dakwaan Perikatan Nasional menerima dana judi di dalam kempen PRU15?’,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menjangkakan bahawa jawapan diberikan menteri pastinya berulang, kononnya maklumat diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mencukupi untuk membolehkan kertas siasatan dibuka.

“Sekali lagi nanti, jawapan itu membuktikan (sekali lagi) bahawa dakwaan dana judi itu ialah fitnah setelah PM tertekan, datang pula barangkali ‘saksi baru’ yang lain serahkan bukti baru.

“Penyokong kerajaan PM sekali lagi akan berpesta dengan adanya modal baru. Kemudian saya pun akan tanya lagi, menteri pun akan jawab lagi… begitulah berulang kali sehingga Abang Jamil…,” katanya.

Terdahulu, SPRM mengesahkan menerima dokumen daripada seorang ahli perniagaan yang mengandungi bukti perkaitan antara PN dengan syarikat perjudian.

Individu bernama Rashdan Yusof itu dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk menyerahkan dokumen itu dan disoal siasat kira-kira tiga jam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button