Berita UtamaUtama

Adun Tronoh tak mengaku rogol pembantu rumah

Hakim benarkan Paul Yong diikat jamin sebanyak RM15,000

IPOH, 22 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Yong, 49, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan ke atasnya dibaca di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, pada 7 Julai, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman manakala Yong diwakili peguam Farhan Sapian, Adun Malim Nawar Leong Cheok Keng, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh serta Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Azhar yang juga Pengarah Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Negeri Perak sebelum itu memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana khuatir akan mengganggu saksi.

Peguam Ram Karpal Singh bagaimanapun berkata, saksi (mangsa) telah ditempatkan di tempat yang selamat dan memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan Yong mempunyai empat anak yang masih bersekolah dan menuntut di universiti selain telah beri kerjasama yang baik kepada polis serta hadir di mahkamah.

Hakim Norashima kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Terdahulu, Yong yang berkemeja putih serta sut berwarna kelabu tiba di mahkamah pada jam 8.57 pagi dengan menaiki kenderaan jenis BMW.

Polis memperketatkan kawalan di sekitar mahkamah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sekumpulan penyokong Yong turut dilihat berkumpul di hadapan pintu masuk mahkamah sejak 8.30 pagi selain kira-kira 20 pengamal media yang menanti kehadiran Yong. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close