Dunia

Kediaman diroboh, kanak-kanak Palestin rasa ‘ditinggalkan dunia’

80 peratus rasa tidak berdaya, putus asa tentang masa depan

BAITULMAQDIS, 17 Zulkaedah 1442H, Isnin – Sebanyak empat daripada lima kanak-kanak Palestin yang kediaman mereka dirobohkan oleh pengganas Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur ‘merasa ditinggalkan’ oleh dunia, dedah satu laporan terbaharu.

Penemuan itu yang diterbitkan oleh Save the Children, tatkala penduduk Palestin di kawasan Baitulmaddis Timur, Sheikh Jarrah dan Silwan berisiko diusir dari kediaman mereka, sementara menunggu keputusan Mahkamah Agung Israel.

Save the Children telah bercakap dengan 217 keluarga Palestin yang kediaman mereka dirobohkan oleh Israel sejak 10 tahun terakhir ini.

Badan amal itu mendapati, 80 peratus kanak-kanak yang disoal selidik merasakan ibu bapa tidak dapat melindungi mereka.

Bahkan mereka merasa ‘tidak berdaya dan putus asa tentang masa depan’.

Sebilangan besar kanak-kanak juga menunjukkan tahap penderitaan yang tinggi, termasuk perasaan sedih, takut, murung dan cemas.

Mac lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Israel telah meningkatkan aktiviti perobohan kediaman penduduk Palestin yang tinggal di Tebing Barat.

Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, dalam sebuah laporan yang dikeluarkan pada hari Selasa bahawa tindakan Israel mengakibatkan pemindahan 305 penduduk Palestin, termasuk 172 kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya 435 orang juga terjejas mata pencarian atau akses kepada perkhidmatan susulan tindakan itu.

Agensi itu juga berkata, setakat ini pada tahun 2021, purata bulanan struktur Palestin yang disasarkan mewakili peningkatan 65 peratus berbanding tahun 2020.

Sejak tahun 1967, pihak berkuasa Israel telah merobohkan 28,000 kediaman Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, menurut Jawatankuasa Israel menentang Perobohan Kediaman.

Save the Children percaya bahawa perobohan itu telah memindahkan sekurang-kurangnya 6,000 kanak-kanak Palestin selama 12 tahun terakhir. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button