Berita UtamaUncategorizedUtama

66,988 botol cecair rokok elektronik ada nikotin dirampas

Penggunaan rokok konvensional, elektronik bahayakan kesihatan: KKM

BANGI, 22 Zulhijjah 1440H, Jumaat – Kementerian Kesihatan (KKM) merampas 66,988 botol cecair rokok elektronik dianggarkan bernilai RM1.4 juta, yang disyaki mengandungi nikotin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua rampasan berkenaan dibuat dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Ibu Pejabat KKM di seluruh negara pada 20 Ogos lalu.

Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil aduan dan maklumat yang diterima oleh pihak KKM berkenaan penjualan cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin kepada pelajar sekolah.

“Sebarang persediaan yang mengandungi Nikotin merupakan Racun Kumpulan C adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952. Oleh yang demikian, pembekalan dan penjualan sebarang persediaan yang mengandungi Nikotin hanya dibenarkan oleh Ahli Farmasi yang berlesen dan Pengamal Perubatan berdaftar bagi tujuan rawatan.

“Kesemua kes akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga tiada mengeluarkan sebarang notis di bawah Peraturan 13 berkaitan larangan merokok termasuk rokok elektronik terhadap Orang Belum Dewasa (berumur 18 tahun ke bawah).

“Namun begitu, kesalahan-kesalahan lain yang berkaitan di bawah PPKHT 2204 juga diambil tindakan di mana sebanyak 4 notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(a) iaitu tiada tanda larangan merokok di dalam premis dan 3 notis kesalahan di bawah Peraturan 14(1) iaitu tiada tanda larangan menjual hasil tembakau kepada Orang Belum Dewasa telah dikeluarkan,” katanya.

Justeru, pihaknya menasihatkan pengilang, pengedar atau penjual untuk menghentikan serta-merta sebarang aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan persediaan, termasuk cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin.

“Orang ramai juga dinasihatkan bahawa sebarang bentuk tabiat merokok sama ada menggunakan rokok konvensional atau rokok elektronik adalah membahayakan kesihatan.

“Pihak ibu bapa juga diminta untuk sama-sama mengawasi anak-anak agar tidak terlibat di dalam masalah penggunaan rokok serta rokok elektronik,” katanya.
 
 
 
 
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close