Berita UtamaUncategorized

Syor kerajaan fokus tahap pematuhan Lynas

Pantauan ketat diperlukan bagi pastikan syarat baharu dipatuhi

BANGI, 21 Zulhijjah 1440H, Khamis – Kerajaan disyor supaya fokus dalam memastikan kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, Kuantan mematuhi semua syarat baharu yang ditetapkan, termasuk undang-undang sedia ada berkaitan dengan sisa yang dihasilkan oleh Lynas Advance Material Plan (LAMP).

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, pantauan yang ketat amat diperlukan bagi memastikan pihak Lynas mematuhi segala peruntukan perundangan sedia ada.

“Saya menyambut baik usaha kerajaan menetapkan tiga syarat baharu kepada pihak Lynas yang dilihat lebih tegas setelah Kerajaan Australia sendiri menolak penghantaran balik sisa radioaktif Water Leached Purification Residue (WLP) tersebut.

“Pada waktu yang sama, Lynas juga seharusnya segera menyediakan perancangan yang teliti bagi memenuhi syarat yang telah ditetapkan termasuklah berkenaan pembinaan dan lokasi Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) kepada Kerajaan secara spesifik,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya pihak Lynas terus mengadakan diskusi secara umum bagi mengetahui maklumat berkenaan sisa yang dihasilkan.

“Diskusi itu bukan sahaja kepada ahli-ahli politik malah rakyat Malaysia khususnya masyarakat Kuantan dengan menyebarkan fakta, maklumat dan tindakan yang diambil terhadap sisa yang dihasilkan oleh Lynas sendiri,” katanya. 

15 Ogos lalu, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) mengumumkan lesen operasi kilang nadir bumi milik syarikat perlombongan Australia, Lynas Corp itu diperbaharui selama enam bulan.

Sebelum ini, lesen operasi Lynas dilanjutkan selama tiga tahun pada 2016 sehingga 2 September tahun ini.

Bagaimanapun, pembaharuan lesen Lynas, yang beroperasi di Gebeng Kuantan itu, kali ini disertakan dengan beberapa syarat utama.

Antara syarat yang dikenakan terhadap kilang nadir bumi itu ialah pemindahan proses ‘Cracking and Leaching’ ke luar negara dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Lynas juga mesti menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula residu radioaktif WLP sebagai Condisoil dalam bidang pertanian.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close