Berita UtamaUtama

Siasat individu gunakan Zakir Naik untuk gugat keharmonian

Pemuda Isma Gombak buat laporan polis ke atas 5 pemimpin, media

BANGI, 21 Zulhijjah 1440H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk menyiasat beberapa individu dan dua portal berita yang sengaja menggunakan pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik untuk menganggu gugat keharmonian negara.

Ia berikutan tindakan beberapa pemimpin, termasuk portal Malaysiakini dan Free Malaysia Today (FMT) yang sengaja memetik sedutan ceramah Dr Zakir di Kelantan baru-baru ini, di luar daripada konteks yang dimaksudkan sehingga menyebabkan keresahan dan kemarahan orang ramai terhadap pendakwah terkenal itu.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Gombak terhadap dua pihak berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam.

Laporan berkenaan dibuat ke atas lima individu membabitkan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran; bekas Duta Malaysia ke Argentina, Dennis J Ignatius; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy Palanisamy; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago.

Selain lima pemimpin terbabit, laporan berkenaan turut meminta FMT dan Malaysiakini disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan kerana menyiarkan semua berita serta artikel yang boleh menjadikan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia menjadi tegang.

Wakil Pemuda Isma Gombak, Haziq Mahmur berkata, kenyataan semua individu berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan dibimbangi akan mencetuskan rusuhan kaum serta agama di negara ini.

“Saya menyeru siasatan dijalankan secara segera demi keharmonian negara dan tindakan tegas diambil dengan kadar yang segera bagi mengelakkan pihak tersebut terus membakar api perkauman agama di Malaysia,” katanya.

Laporan polis berkenaan dibuat sebagai menyahut gesaan beberapa NGO, termasuk Multiracial Reverted Muslims (MRM); Tokoh Dakwah PAS 2019; Tokoh Pendakwah Maal Hijrah Pulau Pinang 1439H dan Protege Dr Zakir Naik.

Dalam satu kenyataan bersama, semua NGO berkenaan menggesa orang ramai untuk membuat laporan polis terhadap semua individu yang dinamakan berkenaan demi keharmonian kaum dan agama.

“Jika mereka mampu membuat 115 laporan polis terhadap Zakir Naik, sahabat semua mampu lebih daripada 1,000  laporan terhadap mereka.

“Sebarkan dan buat tindakan sekarang sebelum hubungan antara kaum dan agama menjadi semakin teruk kerana pihak yang berkepentingan ini,” kata NGO berkenaan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close