Berita UtamaDunia

Myanmar sekat Facebook

MPT telekomunikasi milik kerajaan turut sekat Instagram, WhatsApp

NAYPYITAW, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Penyedia rangkaian internet di Myanmar – termasuk MPT telekomunikasi milik kereajaan – menyekat akses perkhidmatan milik Facebook Inc hari ini, beberapa hari selepas rampasan kuasa oleh tentera.

Surat yang disiarkan dalam talian oleh Kementerian Komunikasi dan Maklumat semalam berkata, Facebook akan disekat sehingga 7 Februari demi ‘kestabilan’.

“Ini mengelakkan mereka mengganggu kestabilan negara… menyebarkan berita palsu dan maklumat salah sekali gus menimbulkan salah faham dengan menggunakan Facebook,” kata surat kementerian itu.

Segelintir pengguna di Myanmar melaporkan mereka tidak dapat mengakses beberapa perkhidmatan Facebook.

Kumpulan pemantau rangkaian NetBlocks mengesahkan MPT telekomunikasi milik kerajaan telah menyekat Facebook dan juga perkhidmatan Messenger, Instagram dan WhatsApp.

Telenor Asa Norway berkata, pihaknya baharu saja menyekat Facebook bagi mematuhi arahan tersebut.

Telenor menyatakan ‘keprihatinan besar’ mengenai arahan itu, yang dikatakan telah diterima oleh semua operator mudah alih dan penyedia perkhidmatan internet semalam.

Dalam satu kenyataan, pihaknya mengarahkan pengguna ke mesej yang mengatakan laman web Facebook tidak dapat dicapai kerana arahan kerajaan.

“Walaupun arahan itu mempunyai hukum dasar dalam undang-undang Myanmar, Telenor tidak yakin permintaan itu atas dasar keperluan dan perkadaran, mengikut hukum hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Facebook, Andy Stone mengakui gangguan itu.

“Kami mendesak pihak berkuasa memulihkan semula rangkaian supaya rakyat di Myanmar dapat berkomunikasi dengan keluarga dan rakan mereka serta mengakses maklumat penting,” katanya.

Separuh daripada 53 juta warga Myanmar menggunakan Facebook, yang kebanyakkan sinonim dengan internet. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button