Berita UtamaUtama

Wanita ramai sertai pengganas

Kerjasama IS Malaysia, Indonesia dan Filipina paling membimbangkan

PENDANG, 20 Zulhijjah 1440H, Rabu – Golongan wanita yang membabitkan diri dengan kumpulan pengganas Daesh semakin meningkat, malah menjadi trend terbaharu di rantau Asia Tenggara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka turut bertindak sebagai penyerang bunuh diri.

“Lebih membimbangkan golongan ini mempunyai satu semangat baharu untuk melancarkan serangan. Dua tiga hari lepas ada insiden di mana seorang anggota IS Indonesia di Surabaya membawa sebilah pisau masuk ke balai polis kononnya mahu membuat laporan.

“Namun individu berkenaan bertindak mencederakan pihak polis dan ini membuktikan keberanian mereka melakukan serangan sebegitu,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Seminar Kesedaran Keselamatan Menangani Ancaman Daesh, IS dan ajaran sesat di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang.

Mengulas lanjut, Ayob seperti dilapor Sinar Harian berkata, pada tahun ini sahaja, lebih 30 orang berjaya ditahan dan ada dalam kalangan mereka adalah wanita.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun ancaman Daesh kini mungkin dilihat berkurangan, impaknya masih besar kerana mereka mempunyai kepakaran untuk menghasilkan bahan letupan.

Bahkan, katanya, apa yang paling membimbangkan adalah kerjasama antara elemen IS Malaysia dengan Indonesia dan juga selatan Filipina.

“Tangkapan yang kita buat di Keningau bulan Mei lepas melibatkan dua anggota IS Indonesia, mereka bekerja di Keningau dan menjadi fasilitator kepada anggota Daesh sebelum berlepas melancarkan serangan di selatan Filipina,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close