Berita UtamaPendapatUtama

Wanita dalam kemerdekaan, pembangunan negara

Ibu Zain boleh dijadikan contoh terbaik buat wanita masa kini

WANITA punya peranan yang cukup besar dalam kemerdekaan negara. Peranan yang dijalankan adalah sama penting dengan peranan yang dimainkan oleh golongan lelaki. Terdapat banyak usaha yang dilakukan oleh golongan wanita. Ianya bermula dengan usaha untuk membebaskan negara dari penjajahan sehinggalah kini.

Sumbangan Wanita- Satu Sorotan

Ibu Zain atau nama sebenarnya Tan Sri Hajah Zainun merupakan nama yang tidak asing lagi dalam sejarah Tanah Melayu. Dalam usaha untuk menangkis dakyah komunis daripada menular di kalangan masyarakat, Ibu Zain telah bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain dan meredah hutan seorang diri bagi menjayakan misi tersebut dan ternyata usaha beliau membuahkan hasil. Beliau berjaya menyatukan kaum ibu untuk turut serta menyokong usaha tersebut. Malah beliau mendaftarkan diri sebagai tentera sukarela pada zaman konfrontasi dengan komunis itu.

Selain dari itu, Ibu Zain turut membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh askar Jepun di samping menjalankan usaha bagi memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun. Bagi memastikan usahanya lebih berkesan, beliau telah mempelajari Bahasa Jepun dan mampu menguasainya dalam tempoh sebulan sahaja. Tindakan Ibu Zain bertindak di belakang tabir ini jelas memberi sumbangan yang besar terhadap proses kemerdekaan negara.

Ibu Zain juga merupakan seorang tokoh pendidikan tempatan. Beliau merupakan seorang yang terpelajar, lulusan Junior Cambridge dan Methodist Girls School di Melaka. Ibu Zain kemudiannya membina sebuah sekolah di Negeri Sembilan dengan menggunakan duit beliau sepenuhnya. Beliau kemudiannya telah berpindah ke Johor dan bekerja sebagai penyelia sekolah perempuan bagi sekolah perempuan daerah Muar dan Batu Pahat, seterusnya bagi seluruh negeri Johor.

Beliau kemudiannya telah berjaya meyakinkan pentadbir kerajaan Johor untuk membina lebih banyak sekolah perempuan. Pada tahun 1948, Ibu Zain telah berjaya menubuhkan kolejnya sendiri yang bernama Kolej Tunku Ampuan Mariam di Johor Bahru pada tahun 1948. Kini ianya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru dan merupakan SMKA yang terbaik di negeri Johor.

Beliau juga turut memainkan peranan yang aktif dalam persatuan. Beliau merupakan antara individu yang bertanggungjawab bagi menubuhkan Persatuan Guru-Guru Sekolah Melayu dan Sekolah Agama Negeri Johor. Melalui kewibawaan yang telah ditonjolkan, beliau telah dilantik sebagai presiden pertama persatuan tersebut. Selain daripada itu, beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai yang Dipertua Persekutuan Guru-Guru Perempuan Melayu selama tempoh 19 tahun.

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Ibu Zain seharusnya menjadi contoh buat wanita masa kini. Ia membuktikan wanita mampu memberikan sumbangan besar dalam pembangunan negara. Ia juga menunjukkan keperluan terhadap golongan wanita dalam bersama-sama memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk bersama-sama golongan lelaki.

Pembinaan Keluarga Sebagai Satu Bentuk Sumbangan Kepada Negara

Wanita ialah makhluk yang lembut dan penyayang kerana perasaannya yang halus. Wanita yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu penyempurnaan. Wanita berperanan penting dalam mencorak masa depan negara.

Wanita juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam pembentukan dan pembangunan keluarga dan masyarakat Islam. Wanita memainkan peranan yang besar dalam pembinaan negara menerusi pembentukan keluarga yang stabil dan pendidikan anak-anak yang sempurna.

Peranan seorang wanita di dalam keluarga dalam konteks hari ini merupakan antara tunjang penting dalam memastikan keharmonian keluarga. Peranan wanita bukanlah semata-mata untuk menjaga makan-minum, kesihatan dan keselesaan hidup anak-anak tetapi juga yang terpenting ialah untuk mendidik, mengasuh dan membimbing anak-anak. Didikan yang diberikan kepada anak-anak itu akan memberikan manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Ibu Zain telah memberikan contoh yang baik dalam mendidik anak-anaknya iaitu dengan pelajaran dunia dan akhirat. Anak-anaknya merupakan pelajar yang pintar dan cerdik di sekolah hinggalah ke peringkat universiti dan mencapai kejayaan yang tinggi di dalam hidup. Mereka bukan sahaja dapat menguasai pelajaran malah kuasai juga bidang bahasa, persuratan dan penulisan.

Wanita juga tidak seharusnya terlalu ghairah terhadap kerjaya atau pekerjaan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Ya benar, wanita bekerjaya merupakan aset kepada pembangunan umat dan negara. Akan tetapi jika wanita yang bekerjaya tidak mengendahkan peranannya terhadap keluarga maka sesebuah institusi kekeluargaan akan menghadapi masalah. Seseorang wanita yang berkerjaya yang berjaya adalah apabila ia dapat menseimbangkan kerjaya dan rumah tangga dengan baik.

Meskipun wanita bebas melaksanakan peranannya akan tetapi wanita yang berkeluarga itu memainkan peranan terutama dalam membentuk keluarga. Walau sibuk dan tinggi bagaimanapun jawatannya di luar dan di tempat kerja, apabila pulang ke rumah dia tetap menjadi ibu kepada anak-anaknya dan isteri kepada suaminya.

Apabila wanita dapat memainkan peranannya di rumah dengan baik, maka akan lahirlah keluarga-keluarga yang sejahtera dan menyumbang kepada kestabilan masyarakat dan negara.

Kesimpulannya, wanita memainkan peranan yang besar dalam pembangunan negara. Bermula dengan tugas asasinya sebagai tonggak dalam sesebuah keluarga hinggalah kepada sumbangannya dalam masyarakat.

Kemajuan sesebuah negara tidak harus dilihat dari satu sudut sahaja iaitu pembangunan material dan kebendaan semata-mata. Malah hakikat sebuah negara bangsa yang maju adalah bangsa yang terbangun nilai-nilai kemanusiaannya. Moral dan akhlak rakyatnya terpelihara dan sentiasa diutamakan.

Ustazah Suriani Sudi
Ketua Wanita Isma

Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close