Berita Utama

PAS Kelantan persoal bagaimana nak laksana PRU musim tengkujuh

Bertegas tak mahu bubar DUN hingga Mei tahun depan

BANGI, 9 Rabiulawal 1444H, Khamis – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mempersoalkan bagaimana mahu melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam keadaan negara berdepan musim tengkujuh.

Atas dasar itu, PAS Kelantan tetap dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kelantan khususnya turut berdepan banjir setiap tahun dan kerajaan negeri sedang membuat persiapan menghadapi bencana.

“Pengalaman kita di Kelantan memang sentiasa banjir. Bagaimana kita mahu melaksanakan pilihan raya dalam musim banjir.

“Sebab itu kita kekal pendirian dan tidak mahu bubar DUN sehingga Mei tahun depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Naib Presiden PAS itu berkata, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan membantu rakyat, bukan mengadakan pilihan raya.

Katanya, masalah ekonomi juga antara sebab PAS tidak mahu membubarkan DUN dan akan memberi perhatian kepada menangani kesusahan rakyat.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan perkara sama dipersetujui tiga negeri ditadbir parti itu iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button