Berita UtamaUtama

Petisyen solidariti untuk Zakir Naik dilancar

Mahkamah India takkan adil terhadap pakar perbandingan agama

BANGI, 20 Zulhijjah 1440H, Rabu – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan satu petisyen bagi menyatakan sokongan kepada pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik dan membantah sebarang usaha untuk mengekstradisi beliau.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, petisyen itu adalah tanda solidariti dan desakan umat Islam agar kerajaan tidak tunduk kepada mana-mana tuntutan dari dalam mahupun luar negara untuk menghantar pulang Dr Zakir Naik.

Katanya, petisyen itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dr Zakir Naik antara pendakwah prolifik dalam dunia hari ini dan kini mendapat perlindungan di Malaysia kerana tekanan perundangan oleh kerajaan India. 

“Beliau adalah seorang intelektual Islam yang diiktiraf di seluruh dunia dan diperakui oleh negara-negara Islam. 

“Hujah dan syarahannya tidak mempunyai unsur menghasut atau menghina agama lain seperti yang didakwa, melainkan mengangkat kebaikan agama Islam mengatasi agama anutan yang lain,” katanya dalam petisyen berkenaan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, kerajaan Malaysia setakat ini masih bertahan dan tidak tunduk kepada tekanan India serta desakan segelintir pihak dan membenarkan Dr Zakir terus berada di Malaysia selagi beliau tidak menyalahi undang-undang negara ini. 

Namun, beliau berkata, suasana dan iklim politik mutakhir ini agak sukar dan membimbangkan.

Sehubungan itu, Mapim mengesa dan mahu menggerakkan seluruh umat Islam agar bersatu mempertahankan hak kerajaan Malaysia untuk tidak mengesktradiksi Dr Zakir ke India walau apa pun tekanan yang dikenakan.

“Semua tokoh masyarakat, NGO, badan sukarela, pertubuhan berdaftar dan parti politik dijemput untuk menyatakan sokongan kepada kempen ini,” katanya.

Mohd Azmi berkata, Mapim bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia yakin bahawa Dr Zakir tidak lagi perlu diadili di mahkamah India, kerana pasti beliau tidak akan mendapat pembicaraan yang adil. 

Malah, kerajaan India hanya mahu menahan beliau dan tidak membenarkan pakar perbandingan agama itu untuk menyampaikan dakwahnya di negara itu.

Orang ramai yang mahu menyatakan sokongan terhadap petisyen berkenaan boleh menurunkan tandatangan di pautan www.change.org.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close