Berita UtamaPendapatUtama

Merungkai sejarah tamadun Melayu Sungai Batu

Tiada rekod pemerintah naungi Sungai Batu pada 535 sebelum Masihi

RATA-RATA masyarakat Malaysia telah pun mengetahui bahawa penemuan bukti-bukti arkeologi di kawasan Sungai Batu di kaki Gunung Jerai, Kedah telah membuktikan bangsa Melayu adalah peribumi asal telah pun hidup secara bersistematik dan bertamadun seawal 535 sebelum Masihi sehingga kurun ke-15.

Antara bukti arkeologi yang ditemui bukan sahaja binaan jeti pelabuhan berbumbung yang moden dan pusat upacara keagamaan, malah jutaan tuyere atau peniup angin untuk proses peleburan besi di serata tempat sekitar Sungai Batu dan penemuan relau-relau melebur besi sehingga juga dikesan sehingga di Bukit Selambau dan Kampung Gading di Jeniang menggambarkan kawasan bertamadun ini sangat luas dengan industri melebur besi sebagai nadi kehidupan utama.

Artikel ini akan menyingkap perbandingan bukti arkeologi kewujudan Tamadun Sungai Batu, rekod kedatangan Islam, kerajaan atau empayar sekitar yang wujud sezaman dan salasilah kesultanan Melayu Kedah Tua.

REKOD KEDATANGAN ISLAM

Kedatangan Islam di negeri Kedah berlaku seawal tahun 904 berdasarkan kewujudan sebuah makam ulama bernama Sheikh Abdul Qadir Ibni Husein Syah Alirah di kawasan Langgar.

Terdapat juga pandangan bahawa selain mengajar Islam kepada masyarakat setempat, Shaikh Abdul Qadir juga diangkat sebagai pemerintah setempat kerana makam ini berbatu nisan Acheh yang biasanya digunakan oleh golongan bangsawan dan raja.

KERAJAAN ATAU EMPAYAR SEKITAR YANG SEZAMAN

Terdapat 5 kerajaan atau empayar utama yang wujud sezaman dengan tempoh kewujudan Tamadun Melayu Sungai Batu, iaitu:

1) Kerajaan Langkasuka yang berpusat di sekitar Patani, Thailand wujud seawal abad kedua. Terdapat pandangan yang mengatakan kawasan Kedah Tua adalah sebahagian daripada naungan Langkasuka sehingga abad kelima apabila kerajaan itu mengalami kemerosotan.

2) Kerajaan Champa diasaskan pada abad kedua dan berpusat terawal di Indrapura (berhampiran Da Nang, Vietnam sekarang). Kerajaan ini pada mulanya mengamalkan ajaran Hindu dan mula menerima Islam sekitar abad ke-10. Kesultanan Melayu Champa kemudiannya yang berpusat di Panduranga dihapuskan oleh kerajaan Dai Viet pada tahun 1832.

3) Kerajaan Srivijaya yang berpusat di Sumatera menawan kerajaan Langkasuka dan kerajaan Kedah Tua pada abad ke-11. Kerajaan Kedah Tua pada masa itu berpelabuhan di Kuala Merbok, Lembah Bujang, lebih hilir daripada Pelabuhan Sungai Batu sebelum ini. Dinasti Sailendra yang berpusat di Jawa mengambil alih wilayah pemerintahan Srivijaya termasuk Kedah Tua apabila dinasti terdahulu lemah. Hal ini dipersetujui berdasarkan wujudnya tarian gamelan dan permainan wayang kulit Kedah yang berasal daripada budaya Sailendra.

4) Kerajaan Hindu daripada Dinasti Chola yang berpusat di Koromandel menawan Kerajaan Srivijaya termasuk Kedah Tua sekitar tahun 1025 yang diketuai Raja Rajendra Chola I.

 

5) Kerajaan Perlak diasaskan di Sumatera sekitar abad kelapan selepas kerajaan Srivijaya mengalami kemerosotan. Kerajaan ini diperintah oleh Dinasti Sayyid berfahaman Syiah antara tahun 840 hingga 918 seterusnya Dinasti Johan Berdaulat yang berfahaman Sunni sehingga tahun 1292.

SALASILAH KESULTANAN MELAYU KEDAH TUA

Salah satu pandangan pengasas kerajaan Kedah Tua ialah Merong Mahawangsa berdasarkan catatan Hikayat Merong Mahawangsa atau Undang-undang Kedah yang dikatakan berasal dari Rom dan terdampar di pesisir pantai Kedah.

Namun, pandangan yang lebih diterima adalah berdasarkan Manuskrip Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang menamakan baginda sebagai Maharaja Derbar Raja, seorang beragama Hindu sebagai pengasas kerajaan Kedah Tua sebelum memeluk Islam pada tahun 1136 dan mangkat pada tahun 1179 sebagai Sultan Muzaffar Shah I.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbandingan-perbandingan yang telah dinyatakan, belum ada lagi rekod siapakah atau kerajaan manakah yang menaungi kawasan bertamadun Sungai Batu seawal 535 sebelum Masihi. Kawasan Sungai Batu ini kemudiannya dinaungi Kerajaan Langkasuka bermula abad kedua.

Sekiranya benar kawasan Sungai Batu menjadi kerajaan sendiri pada abad kelima, siapakah pula pemerintahnya pada masa itu kerana penguasaan oleh Srivijaya dan Chola hanya berlaku pada abad ke-11 dan Maharaja Derbar Raja hanya menjadi pemerintah sulung Kedah Tua sejurus selepas itu.


Hanya fakta mengenai status Sheikh Abdul Qadir Ibni Husein Syah Alirah sahaja yang belum terungkai dengan tepat sama ada beliau hanyalah seorang ulama biasa ataupun sebahagian daripada generasi yang pernah pemerintah kawasan Kedah termasuk Sungai Batu pada masa dahulu.

FAKHRUDDIN AFIF FAUZI
Aktivis ISMA Subang Jaya

Rujukan-rujukan utama:
1. https://siakapkeli.my/2019/02/21/tamadun-terawal-asia-tenggara-bermula-di-sungai-batu/? fbclid=IwAR30sogX0hoync8YNhYytgOPtAUlz91waMbA54S_dUL0A6JK5Onwk6vrwtM
2. https://www.kwiknews.my/news/penemuan-relau-besi-bukti-wujud-laluan-penarikan-kedah-tua-ke-teluk-siam
3. http://studentsrepo.um.edu.my/5342/1/MANUSKRIP_UNDANG.pdf
4. http://merahsilu.blogspot.com/2011/02/mencari-jejak-merong-sheikh-abdullah.html
5. http://artmelayu.blogspot.com/2008/02/sebuah-makam-berumur-1100-tahun-di.html
6. https://www.kosmo.com.my/negara/makam-sebenar-merong-mahawangsa-ditemui-di-sungai-petani-1.709029
7. https://keturunanderbarraja.blogspot.com/2019/07/sejarah-keturunan-derbar-raja.html
8. https://berita.pas.org.my/kesultanan-perlak-daulah-islam-pertama-di-alam-melayu/
9. https://www.slideshare.net/AtikahIshak1/sejarah-asal-usul-negeri-kedah-yang-sezaman-dengan-langkasuka-sehingga-kedatangan-islam
10. http://arkeosungaibatu.blogspot.com/2011/02/sungai-batu-di-lembah-bujang.html
11. https://www.thepatriots.asia/apa-istimewanya-tamadun-sungai-batu-di-kedah/
12. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1635190
13. https://en.wikipedia.org/wiki/Cham–Vietnamese_War_(1471)
14. https://en.wikipedia.org/wiki/Hikayat_Merong_Mahawangsa
15. https://en.wikipedia.org/wiki/Langkasuka

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close