Berita UtamaUtama

Ambil tindakan terhadap pelaku hina Jalur Gemilang

Orang ramai diminta jaga kedaulatan negara, tak sebar berita tak sahih

BANGI, 20 Zulhijjah 1440H, Rabu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan penghinaan terhadap bendera Malaysia.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dalam satu kenyataan, hari ini berkata, pihaknya memandang serius mengenai perkara berkenaan serta akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang berbuat demikian.  

Ini kerana, tegasnya, keadaan ini telah memberi persepsi yang pelbagai di kalangan masyarakat kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara.

“Kebelakangan ini telah dikesan beberapa insiden melibatkan penghinaan terhadap bendera Malaysia, Jalur Gemilang sama ada dipasang atau digantung secara terbalik atau digunakan bagi maksud yang tidak sewajarnya.

“Polis Johor amat memandang serius tentang perkara ini dan tindakan undang-undang akan diambil mengikut peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap sesiapa yang didapati melakukan kesalahan ini.

“Tindakan juga boleh diambil mengikut peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Justeru, Mohd Kamarudin menasihati orang ramai supaya menjaga kedaulatan negara serta tidak menyebarkan berita-berita tidak sahih yang boleh mengganggu keamanan negara.

Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai pemasangan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik di sebuah sekolah di Pahang. 

Selain itu, sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap juga dikatakan  memasang Jalur Gemilang terbalik, dan difahamkan permohonan maaf sudah dibuat.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close