Berita Utama

Sebumbung dengan DAP, mampukah UMNO terus lantang perjuang Melayu?

Sejauh mana penerimaan orang Melayu pada UMNO dapat dilihat PRN nanti

BANGI, 19 Zulkaedah 1444H, Khamis – Cabaran UMNO mengembalikan keyakinan orang Melayu akan berterusan selepas parti itu sudi hidup ‘sebumbung’ dengan DAP dan kerajaan parti campuran.

Ini kerana, bukan semua ahli UMNO dapat menerima dan memahami langkah UMNO bersama Kerajaan Madani.

Lebih kritikal, mereka sukar menerima kenyataan UMNO berbaik dengan DAP khususnya.

Bahkan, ada ahli UMNO tidak berpuas hati apabila sebilangan pemimpin parti menggesa mereka mengundi DAP pada PRN akan datang.

Penganalisis politik UMT, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, ketidakyakinan segelintir ahli UMNO terhadap kerjasama parti mereka dengan DAP sebenarnya bertitik tolak daripada pelbagai premis dan persoalan.

Antaranya, mampukah UMNO terus lantang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam seperti dahulu.

Katanya, apabila semua parti politik dalam kerajaan melaksanakan penyederhanaan ideologi dan tuntutan asal perjuangan masing-masing, termasuk UMNO, parti Melayu itu masih diharap orang Melayu menjadi tempat berpayung memelihara soal survival Melayu dan Islam.

Atas sebab itu, beliau berpendapat, UMNO wajar mengimbangi tuntutan perjuangan asal dengan dasar bersama dipersetujui dalam Kerajaan Madani.

“Isu kalimah Allah membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam perlu disantuni UMNO dalam kerajaan sebaik-baiknya.

“Ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah Allah,” katanya menulis di Berita Harian.

Selain itu, Dr Mohd Izani berkata, tahap kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO boleh dilihat menerusi keputusan PRN yang akan berlangsung kelak.

“Penerimaan rakyat khususnya orang Melayu terhadap UMNO dalam konteks Kerajaan Perpaduan akan dilihat dalam PRN di enam negeri tidak lama lagi.

“Kemenangan UMNO dalam PRN akan memberi makna sokongan orang Melayu dan pengundi kepada parti itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button