Berita UtamaUtama

Pergolakan dalaman PH punca kebajikan rakyat terabai

Kerajaan Selangor digesa serius tangani masalah banjir Subang Jaya

BANGI, 18 Zulhijjah 1440H, Isnin – Kerajaan negeri Selangor digesa memberi perhatian serius serta melakukan tindakan bagi menyelesaikan masalah banjir yang kerap kali berlaku di Subang Jaya.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata, saiz dan ukuran sistem perparitan yang sedia ada tidak lagi dapat menampung tadahan air hujan yang banyak jika ia berlaku lagi pada waktu akan datang. 

“Banjir kilat yang melanda di Subang Jaya ekoran hujan lebat yang berterusan selama sejam minggu lalu mengakibatkan jalan utama ditenggelami air dan beberapa buah kenderaan yang hanyut.

“Insiden ini dilaporkan telah berulang beberapa kali tanpa ada seberang penyelesaian yang tuntas dari pihak Kerajaan Negeri Selangor sehingga kini.

“Sepatutnya isu banjir yang telah berulang kali ini diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan negeri serta beberapa agensi terbabit seperti pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Khamis lalu, beberapa kawasan di Subang Jaya dilanda banjir kilat akibat hujan lebat yang berterusan lebih sejam bermula jam 3.40 petang Khamis.

Antara kawasan yang terjejas adalah Persiaran Kewajipan, Persiaran Mulia USJ8, Persiaran Tujuan USJ 11 dan hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPS) Subang Jaya.

Banjir itu turut menyebabkan beberapa buah kereta dihanyutkan air berikutan arus deras.

Sehubungan itu, Hanafi berkata, perlu ada satu tindakan segera lagi efisien bagi mengatasi masalah ini agar kebajikan rakyat terus dijamin.

“Pemuda PAS Selangor menekankan aspek keseriusan Kerajaan Negeri Selangor dalam menjaga hal kebajikan rakyat tempatan seumpama ini,” katanya.

Pada masa sama, Pemuda PAS Selangor turut melihat pergolakan dalaman Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengakibatkan fokus kebajikan rakyat yang terganggu dan terabai. 

“Kita nasihati semua pimpinan politik dalam Kerajaan Negeri Selangor agar berhenti dari terpalit dengan polemik dalaman sehingga mandat yang diberikan oleh rakyat tidak dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close