Dunia

Letupan besar musnahkan depot simpanan senjata tentera di Jordan

Tiada laporan korban, komando tentera enggan ulas punca kejadian

AMMAN, 23 Muharram 1442H, Jumaat – Satu siri letupan besar menggegarkan bandar Zarqa, Jordan awal hari ini, yang disyaki berpunca daripada litar pintas berhampiran depot simpanan senjata tentera, lapor Reuters. 

Menurut komando tentera, tiada laporan segera mengenai korban akibat insiden yang berlaku di bandar kedua terbesar Jordan itu setakat ini. 

Difahamkan kebakaran itu dapat dilihat di ibu negara, Amman – 35 kilometer dari lokasi kejadian.

“Kami berasa seperti gempa bumi melanda. Tingkap bergegar dan kaca pecah. Anak-anak mula menangis,” kata seorang penduduk di Zarqa. 

Pasukan keselamatan menutup sementara Zarqa – bandar industri yang mempunyai 1.5 juta penduduk – dan menghalang laluan keluar, masuk bandar. 

Lokasi di mana letupan berlaku menempatkan beberapa pangkalan tentera termasuk lapangan terbang yang dibina pada tahun 2018. 

Jordan menjadikan lokasi itu sebagai pusat logistik dan hub pembekal untuk Amerika Syarikat (AS), termasuk untuk pasukan tentera AS di Tanf, tenggara Syria.

“Siasatan awal mendapati letupan itu disebabkan oleh litar elektrik di depot peluru tentera yang berada di kawasan terpencil dan tidak berpenduduk, di bawah pengawasan kamera,” kata jurucakap kerajaan, Amjad Adailah.

Adailah berkata, mortar yang disimpan di depot itu sudah lama dan tidak dapat digunakan, namun sumber mendakwa sebahagian senjata yang disimpan di lokasi itu ada peluru berpandu anti-pesawat. 

Komando tentera enggan mengulas mengenai punca letupan, dan mendakwa insiden masih dalam siasatan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button