Berita UtamaUtama

Dunia digesa boikot India

Bimbang berlaku pembunuhan besar-besaran di tanah Kashmir

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 18 Zulhijjah 1440H, Isnin – Dunia digesa memboikot India susulan tindakan negara itu menghapuskan Perkara 370 Perlembagaan, yang memberikan autonomi kepada Jammu dan Kashmir.

India pada 5 Ogos lalu membatalkan status khas berkenaan, di wilayah majoriti penduduk beragama Islam dalam usaha New Delhi mengintegrasikan kawasan itu dengan negeri lain di negara berkenaan.

Serentak itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid menggesa masyarakat dunia mengenakan sekatan ekonomi terhadap India bagi menghentikan penaklukan ke atas Kashmir.

“Kami menyeru agensi-agensi dunia untuk bertindak segera sebelum keadaan menjadi semakin tegang.

“Keangkuhan India di bawah pemerintahan BJP terlalu melampau, ditambah pula dengan ideologi Hindu yang melayan masyarakat minoriti seperti tiada perasaan. 

“Sejak status Kashmir dibatalkan, India bertindak melawan rakyat Kashmir sewenang-wenangnya,” kata Azmi dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, serangan ganas terhadap penunjuk perasaan di jalanan juga memberi isyarat penindasan kerajaan India terhadap rakyat Kashmir.

Malah, pengharaman umat Islam untuk melaksanakan solat sunat ketika perayaan Aidiladha baru-baru ini adalah serangan secara langsung terhadap Islam secara keseluruhan. 

Justeru, beliau menggesa pertubuhan seluruh dunia terutama sekali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk tidak hanya membisu dan menonton kekejaman yang berlaku.  

“Tiada tindakan dan sikap bisu terhadap salah guna undang-undang antarabangsa adalah pelanggaran hak asasi manusia oleh rejim India di bawah BJP. 

“Dengan hampir sejuta tentera India yang ditempatkan untuk menduduki Kashmir, India tidak akan mundur. Dunia akan menyaksikan lebih banyak kekejaman dan rantau ini akan berkembang menjadi zon konflik yang tidak dapat dipulihkan.

“Kami menggesa agensi-agensi dunia untuk mengambil tindakan tegas terhadap India sebelum berlaku pembunuhan besar-besaran di tanah Kashmir,” katanya.

Nasib Kashmir kini dibimbangi menjadi seperti Palestin, malah lebih parah apabila berlakunya perlanggaran hak asasi manusia, genosid dan penghapusan etnik serta pemusnahan harta benda.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close