Berita UtamaUtama

1MDB: Mahkamah arah pendakwaan sediakan saksi

Perbicaraan kes Najib ditangguhkan kepada Isnin depan

KUALA LUMPUR, 18 Zulhijjah 1440H, Isnin – Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama, akan bermula Isnin depan dengan keterangan lisan oleh saksi pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pasukan pendakwaan supaya bersedia dengan saksi pada hari berkenaan sama ada saksi terbabit akan memberi keterangan secara lisan atau menerusi pernyataan saksi.

“Isnin (depan) kita akan memulakan dengan keterangan lisan. Harap sediakan saksi,” kata Hakim Sequerah.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan menjelaskan bahawa tiga saksi pertama mereka adalah saksi substantif (saksi utama yang akan memberi keterangan menerusi pernyataan saksi).

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama bekas perdana menteri itu, berpendapat bahawa persediaan berkaitan pernyataan saksi memerlukan beliau dan anggota pasukannya untuk membaca serta memahami sepenuhnya keterangan saksi.

“Apabila saksi berbekalkan pernyataan saksi, mereka akan laju seperti kereta api,” katanya, dan menambah, pihak pembelaan memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan kerana mereka baru menerima 15 berkas dokumen, ada antaranya mempunyai lebih 90 hingga 200 muka surat.

Hakim Sequerah: Saya boleh kekalkan untuk perbicaraan bermula pada Isnin. Saya sedia untuk bertolak ansur jika kamu memerlukan masa… saya boleh tangguhkannya seketika atau selama separuh hari. Perbicaraan akan diteruskan pada Isnin tetapi saya akan mendengar (hujah) kamu pada Khamis.

Terdahulu, Sri Ram memohon supaya perbicaraan dimulakan pada 3 Septembar dengan menyatakan tiga alasan bahawa perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan SRC International Sdn Bhd di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali masih belum selesai.

“Saya dimaklumkan oleh Datuk V Sithambaram (Timbalan Pendakwa Raya) bahawa saksi akhir sedang memberi keterangan semasa pemeriksaan utama dan pihak pembelaan memerlukan sehari setengah untuk memeriksa balas saksi itu,” katanya.

Sri Ram berkata, alasan kedua bagi permohonan penangguhan itu adalah disebabkan pihak pendakwaan tidak dapat menyerahkan pernyataan saksi daripada 12 saksi sehingga Jumaat dan mereka memerlukan masa untuk menentusahkan beberapa dokumen.

“Pagi ini kami turut menyerahkan 15 berkas dokumen kepada pembelaan. Berdasarkan alasan di atas, perbicaraan 1MDB perlu dimulakan pada 3 September kerana mereka (pendakwaan dalam kes SRC) berpeluang untuk menyelesaikan kes mereka,” katanya.

Hakim Sequerah: Tarikh telah ditetapkan lebih awal. Boleh saya tahu kenapa pernyataan saksi lewat diserahkan?

Sri Ram: Saksi pertama kami adalah saksi substantif. Pihak pembelaan memerlukan masa untuk menentusahkan beberapa dokumen. Tidak adil bagi pembelaan jika saksi tidak dipanggil seperti diarahkan. Dan peluang juga perlu diberi untuk menyelesaikan kes SRC.

Ditanya oleh Hakim Sequerah sama ada pendakwaan boleh membacakan pernyataan pembukaan kes itu pada hari ini, Sri Ram berkata, pihak pendakwaan belum bersedia untuk membacakannya.

Hakim Sequerah kemudian memerintahkan pendakwaan supaya bersedia dengan pernyataan pembukaan mereka dan saksi pada Isnin, selain menetapkan Khamis ini bagi pengurusan kes untuk mengetahui perkembangan perbicaraan kes SRC.

Beliau kemudian membenarkan permohonan Sri Ram untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB, juga dikenali sebagai perbicaraan 1MDB-Tanore, yang dijadualkan bermula hari ini.

Pada 20 September 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua 25 pertuduhan dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close