Berita UtamaUtama

Zakir Naik: Pendirian bercanggah bukti pentadbiran PH celaru

Jangan kambing hitamkan Dr Zakir dengan provokasi murahan

BANGI, 17 Zulhijjah 1440H, Ahad – Percanggahan pendirian dua Exco kerajaan negeri Kedah terhadap isu pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) mengalami kecelaruan, seperti yang berlaku di peringkat Kerajaan Pusat.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, di peringkat Pusat, parti rasis dan cauvinis, DAP menyerang dan mendesak supaya Dr Zakir dihantar balik ke negara asalnya, India, namun, satu lagi komponen dalam PH dengan tegas mempertahankan beliau.

“Ini jelas menunjukkan kecelaruan dasar dan budaya pentadbiran negara yang tidak sihat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ustaz Ahmad berkata, Dr Zakir bukan sahaja amanah Allah SWT untuk umat Islam, malah beliau adalah aset yang amat berharga,.

Justeru itu, katanya, keupayaan dan kebolehan beliau sepatutnya dihargai serta dimanfaatkan dan bukannya disekat atau dinafikan.

“Dr Zakir bukanlah punca tercetusnya masalah, sebaliknya pemutar belit dan pemberitaan palsu berkaitan kenyataannya yang menjadikan keadaan semakin tegang,” tegasnya.

Terdahulu, Kedah mengambil pendekatan sama seperti Perlis apabila tidak membenarkan Dr Zakir mengadakan ceramah di negeri berkenaan susulan kontroversi yang dikaitkan dengan beliau.

Exco Agama Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dilaporkan berkata, tindakan itu bagi memastikan keharmonian kaum di negara ini terpelihara.

Bagaimanapun, katanya, Zakir dibenarkan mengunjungi Kedah, cuma tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana program.

Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad mencabar Dr Ismail supaya menunjukkan bukti kerosakan yang dibawa oleh Dr Zakir sehingga dihalang, kononnya untuk menjaga keharmonian kaum.

Beliau berkata, Exco itu juga diiingatkan supaya tidak ‘mengkambing hitamkan’ pendakwah terkenal itu dengan pelbagai provokasi murahan.

“Sedangkan realiti sebenar yang menimbulkan ketegangan kaum adalah hasil bawaan DAP dan bukannya Dr Zakir, malah berkemungkinan besar halangan itu juga adalah kerana patuh dan akur dengan kehendak parti terbabit,” katanya.

Selain itu, Ustaz Ahmad berkata, masyarakat bukan Islam tidak akan membenci agamawan itu sekiranya mereka menerima maklumat yang benar dan bukannya diputar belitkan sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan mereka.

Beliau turut menyokong penuh tindakan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah baru-baru ini, yang membuat laporan polis ke atas lima individu termasuk menteri dan media, kerana cuba mencetuskan ketegangan agama serta kaum di negara ini.

“Tindakan berkenaan juga sebagai bukti PAS menghormati undang-undang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menangani isu yang ditimbulkan dengan cara yang baik,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close