Berita UtamaUtama

Warga emas rugi RM49,000 ditipu sindiket cabutan bertuah

Seorang wanita ditahan, polis masih mengesan ahli lain, dalang utama

KEPALA BATAS, 17 Zulhijjah 1440H, Ahad – Seorang wanita warga emas kerugian RM49,000 selepas terpedaya dengan sindiket skim cabutan bertuah, yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM150,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 75 tahun itu didatangi ahli sindiket berkenaan beberapa kali ke rumahnya, di sini, sebelum mangsa terpengaruh dengan tawaran terbabit.

“Berdasarkan siasatan, sindiket itu memperdaya mangsa sejak 2016 sehingga mangsa akhirnya sedar bahawa dia sudah ditipu pada tahun ini, selepas tidak mendapat sebarang hadiah wang tunai,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, wanita itu memaklumkan bahawa dia telah menyerahkan wang kepada sindiket berkenaan sebanyak empat kali dan kali terakhir pada Mac lepas dengan jumlah keseluruhan RM49,000.

Katanya, selepas mangsa sedar dirinya ditipu, wanita itu dihubungi lagi oleh sindiket berkenaan sebelum dia memberitahu perkara itu kepada anak perempuannya dan membuat laporan polis.

Noorzainy berkata, sindiket itu bagaimanapun tidak serik dan masih mahu memperdaya mangsa selepas seorang ahli sindiket itu datang ke rumah warga emas itu untuk menawarkan hadiah, namun perlu membayar sejumlah wang.

“Anak mangsa memaklumkan kepada polis sebelum kami pergi ke rumahnya dan berjaya menahan wanita berusia 30-an yang juga ahli sindiket berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan ahli sindiket itu termasuk dalang utamanya yang dipercayai masih berada di sekitar negeri ini.

Katanya, wanita itu direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -Bernama

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close