Berita UtamaUtama

Polis cari waris pejalan kaki maut dilanggar

Mangsa parah di kepala, badan maut di tempat kejadian

BATU PAHAT, 17 Zulhijjah 1440H, Ahad – Pihak polis meminta waris kepada seorang mangsa kemalangan maut, yang berlaku di Jalan Rejo Sari, Rengit, di sini, malam tadi, untuk tampil membuat pengecaman terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim berkata, kemalangan yang berlaku pada jam 8.30 malam itu membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an.

Semasa kemalangan berkenaan, mangsa dikatakan sedang melintas jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Secara tiba-tiba, sebuah MPV yang dalam perjalananan dari arah Senggarang ke Rengit yang tidak menyedari kehadiran mangsa, tidak sempat membrek kenderaannya lalu melanggar mangsa.

“Mangsa yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri itu maut serta-merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemandu MPV berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses selanjutnya.

“Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kami meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga untuk berhubung dengan pegawai penyiasat kemalangan ini iaitu Inspektor Tong Siew Fen di talian 010-2090396,” katanya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close