Berita UtamaPendapat

Konsep bangsa Malaysia alat untuk kuasai orang Melayu

Ikuti wawancara eksklusif Amir Isma bersama portal Naratif Malaysia

Naratif Malaysia (NM): Sebagai permulaan, elok kami dahulukan dengan pertanyaan mengenai perbezaan kedudukan Muslim di Malaysia antara sebelum PRU14 dengan selepas PRU14. Menurut Tuan Haji, apakah ada perbezaan?

Abdullah Zaik: Bismi-llāhi r-rahmāni r-rahīm. Secara umumnya, kita perlu melihat persoalan ini dalam konteks politik kerana setiap perbincangan mengenai PRU tentu sahaja kaan berkaitan dengan pilihanraya. Menurut pandangan saya, keadaan Muslim di Malaysia pasca PRU14 adealah lebih mencabar. Ini begitu ketara jika kita renung dalam konteks identiti Muslim di Malaysia. Cabaran ini adalah akibat daripada kesan politik yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR dan sebagainya, kemudian pakatan ini disokong pula oleh NGO-NGO dan badan-badan antarabangsa. Apa yang ingin saya nyatakan ialah, pakatan ini telah menjurus bentuk negara kita kepada perubahan identiti Malaysia daripada apa yang kita kenal. Selama ini, Malaysia walaupun menerima kerakyatan daripada bukan Melayu, sentiasa menjaga kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Melayu sebagai identiti kebangsaan di Malaysia. Inilah juga yang tercatat dalam Perlembagaan dan dokumen-dokumen rasmi. Sudah tentu, daripada segi perlaksanaannya, memang terdapat kelemahan di sana sini. Akan tetapi, secara asasnya, perkara ini tidaklah dicabar dan tercabar sepertimana yang sedang kita hadapi dewasa ini. Menurut bacaan saya, perkara ini bukan bermula selepas PRU-14. Malah, ianya sebenarnya berbibit semenjak PRU12 lagi.

NM: Maksudnya, ketika zaman Abdullah Badawi pada tahun 2008?

AZ: Secara ketaranya, memang dikesan pada tahun tersebut. Ia dikesan terbentuk dalam satu gerakan politik, satu force, yang bertujuan untuk mengubah identiti negara kita. Tetapi ramai di kalangan orang politik terperangkap dalam gerakan ini, khususnya daripada Pakatan Rakyat (PR) pada masa tersebut (dan termasuklah orang PAS pada tahun 2008). Mereka teruja apabila melihat kemenangan PR pada waktu itu di enam buah negeri. Kejayaan ini mereka huraikan sebagai hasil daripada politik ekonomi dan sosial (kenaikan harga barang dan kos sara hidup). Namun begitu, menurut saya, hasil politik yang mereka peroleh ini dicagar dengan perubahan identiti negara kita. Saya masih ingat ketika mana saya pergi ke Pejabat PAS bertemu dengan Syed Azman dan berbahas mengenai perkembangan yang membimbangkan ini. Syed Azman sendiri menghuraikan perubahan ini didorong oleh factor politik ekonomi dan sosial. Bagi mereka, rakyat mengubah kerajaan disebabkan oleh desakan ekonomi semata-mata. Pada masa itu, saya tegaskan bukanlah itu faktornya. Sebaliknya, faktor utama ialah terdapat kumpulan-kumpulan tertentu yang mahu mengubah identiti negara kita. Dalam kata lain, gerakan ini mahu mengubah daripada negara Melayu-Islam kepada negara demokrasi liberal.

NM: Kumpulan-kumpulan ini merujuk kepada siapa?

AZ: Kalau diperhatikan pada masa tersebut, terdapat DAP, PKR dan PAS. Mereka ini adalha gabungan yang terdapat dalam PR. Mungkin pada masa tersebut, ketika awal-awal, gabungan ini tidak menyedari bibit-bibit mencabar identiti negara ini. Akan tetapi, kemudiannya mereka sedar terdapat bahang ini. Kesedaran ini diperoleh apabila NGO-NGO seperti Comango, IRF, Komas, dan beberapa lagi badan dan media massa yang ditaja oleh pihak luar dengan membawa agenda yang mencabar identiti negara kita. Sebagai contoh, kita dapat lihat seruan daripada kumpulan-kumpulan ini yang mengumandangkan hasrat negara warga (civil state) yang tidak ada kaitan dengan Melayu-Islam sebagai teras kepada identiti kebangsaan.

NM: Kalau benar renungan ini, maka apa masalahnya jika kita menerima perubahan identiti ini? Bukankah konsep masyarakat warga (civil society) itu baik?

AZ: Tidak. Sebabnya, setiap perubahan identiti boleh memberi penafsiran bahawa orang Melayu sudah tidak ada pegangan identiti ke atas tanah airnya sendiri. Sebagaimana saya selalu sebut: Orang India ada negara India, orang Cina ada Tanah Besar China manakala orang Arab ada negara Arab. Dengan berlaku perubahan ini, orang Melayu akan kehilangan tanahairnya. Dalam kata lain, tiidak ada lagi Tanah Melayu. Ini sama sekali tidak boleh diterima. Jadi, kalau diterima konsep negara warga atau masyarakat warga, maka semua orang akan dianggap sebagai sama. Sekali lagi, ini sama sekali tidak boleh diterima.

NM: Sebelum ini Tuan Haji ada menyebut mengenai usaha untuk mengubah negara yang berkonsepkan Melayu Islam kepada demokrasi liberal. Bolehkah huraikan sedikit apa yang dimaksudkan dengan negara Melayu-Islam itu dan juga apa yang dimaksudkan dengan negara liberal demokrasi?

AZ: Kalau kita pergi ke United Kingdom (UK) atau mana-mana negara, setiap negara tersebut ada identitinya yang tersendiri. Memang benar, bahawa setiap negara adalah pelbagai kaum dan etnik. Akan tetapi, setiap negara tersebut tetap mempunyai identiti terasnya. Misalnya, dalam Perlembagaan kita mencatatkan bahawa budaya negara ini adalah Melayu, agamanya Islam dan bahasanya Melayu. Jadi, itu adalah identiti kita. Ini bermakna bahawa kalau kita melihat Malaysia sebelum merdeka, dari segi sejarahnya, maka jelas sekali bahawa bumi ini adalah Tanah Melayu. Sebab itu, Tanah Melayu patutnya menjadi kekal menjadi Tanah Melayu sampai bila-bila. Jika ada orang lain mahu tinggal di negara ini, sama ada menjadi rakyat ataupun pemaustautin, itu bukanlah suaut masalah. Asalnya, identiti negara kita sebagai Tanah Melayu mestilah dikekalkan sampai bila-bilapun. Kerana itu, mesti ada peruntukan dalam Perlembagaan yang wajib dihormati oleh semua. Peruntukan ini bertujuan untuk memastikan ketinggian syiar dan syariat Islam, melindungi hak-hak orang Melayu, menjaga kedudukan Raja-raja, mempertahankan tanah-tanah rizab dan sebagainya. Selain itu, peruntukan ini juga perlu menegakkan perlambangan-perlambangan kemelayuan, sesuai bahawa ini adalah Tanah Melayu. Kalau kita perasan, orang-orang bukan-Melayu yang dating ke Tanah Melayu, mereka ini membuka perkampungan mereka seperti kampong Cina dan sebagainya. Bagi saya, ini semua hanya mempamerkan perlambangan bukan Melayu. Dalam perjalanan masa, keadaan ini perlahan-lahan akan mengubah identiti negara kita. Bayangkan, bila orang asing datang ke negara kita, mesti mereka rasa terperdaya dengan terdetik sebagai berkata “ingatkan orang Melayu, bahasa Melayu, tanah Melayu, rupa-rupanya bukan.” Jika ini berlaku, maka kita telahpun mengubah identiti negara kita yang asal.

NM: Tetapi, apakah ada perubahan perlembagaan mengenai kedudukan orang Melayu setelah PRU14? Setakat ini kita tidak nampak lagi bagaimana kandungan Perlembagaan itu boleh berubah identiti negara kita. Jadi, apa sebenarnya yang dikatakan perubahan itu?

AZ: Kita perlu membaca dua lapis. Sebenarnya, sedang ada gerakan ke arah perubahan tersebut. Usah ke arah itu sedang berlaku. Ini dapat kita semak menerusi kenyataan-kenyataan atau dasar-dasar kerajaan yang tidak lagi mengambil kira kedudukan orang Melayu. Contoh, dahulu kita kata ada system kuota dalam perumahan, perniagaan, pendidikan dan sebagainya. Namun, hal-hal ini mulai digugat akhir-akhir ini. Begitu juga kerajaan mahu mengiktiraf UEC sekaligus akan membelakangkan SPM. Apa yang berlaku di Pulau Pinang, perarakan Gospel, lambing salib gergasi pada menara, tulisan Jawi yang dicabar, cubaan untuk meratifikasi ICERD dan banyak lagi. Tidakkah ini terang lagi benderang? Bukti apa lagi yang kita mahu?

NM: Saya agak tertarik bila anda ada menyebut berkenaan ‘tanahair adalah milik Melayu’. Tetapi seperti yang mungkin kita telahpun sedia maklum bahawa ketika zaman pra-kemerdekaan memang terdapat perbincangan tentang apa itu Melayu. Malah, ketika waktu tersebut ada usul bahawa konsep Melayu merangkumi kaum-kaum lain. Bahkan, pada hari ini, konsep Melayu di Malaysia setidak-tidaknya dibuka kepada suku-suku seperti Banjar, Minang, Jawa, hatta orang Arab sendiri pun kita anggap sebagai Melayu. Jadi, bukankah menganjurkan idea Melayu yang terangkum itu sesuatu yang baik?

AZ: Tiada masalah. Bahkan itu kita sokong. Pada pandangan saya kita sokong mafhum ini, malahan kita anggap ianya sebagai suatu pencapaian yang membanggakan. Tetapi apa yang sedang berlaku sekarang ialah percubaan untuk menjadikan Melayu sebagai etnik, bukan lagi sebagai identiti kebangsaan. Itu butiran penting saya sejak daritadi. Identiti kebangsaan itu mestilah Melayu. Ini bermakna, sesiapa yang bernaung di bawah wilayah kekuasaan di negara ini maka adalah Melayu. Boleh bercakap Melayu, beragama Islam, beradat Melayu—lantas mereka adalah Melayu.

NM: Sepertinya ada perbezaan nada di sini?

AZ: Tidak ada beza. Apa yang ingin saya tegaskan ialah, memangpun satu pencapaian yang telah diusahakan terdahulu hingga sampai satu tahap, Melayu ini menjadi identiti kebangsaan. Maksudnya, kita ada banyak etnik. Bahkan, kita bukan ada Melayu Malaysia sahaja, sebaliknya kita ada Melayu Brunei, Melayu Patani, Melayu Singapura, semua sekali. Pokoknya, kita ada banyak etnik. Setiap etnik ada budaya, ada loghatnya yang khusus. Tetapi kita telah berjaya menjadikan Melayu sebagai medium penyatu kepada semua etnik. Malahan, idea Melayu ini juga menjadi alat penyebaran agama Islam. Ini bermakna, mereka yang mahu belajar Islam, daripada Filipina, daripada Champa, atau daripada mana-mana tempat sekalipun, hendaklah belajar Islam menerusi bahasa Melayu. Jadi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa agama Islam yang bertindak sebagai medium penyatu kepada ummah. Tapi hari ini, mafhum ini hendak dinafikan dan dihapuskan. Lebih daripada itu, Melayu hanya diletakkan sebagai satu etnik, walaupun dalam perlembagaan masih tercatat keistimewaan-keistimewaannya. Jika ini berterusan, maka akhirnya Melayu bukan lagi menjadi identiti kebangsaan yang sebelum ini kita telahpun sepakati.

NM: Akan tetapi, bukankah agama dan etnik dua perkara yang berbeza? Dengan meletakkan agama dalam batasan etnik, bukankah itu akan menjadikan agama bersifat khusus? Sedangkan, seperti yang kita tahu, bahawa agama secara tabiinya adalah bersifat sejagat. Apakah wajar kita mempertimbangkan kemungkinan Melayu mesti dipisahkan daripada agama? Ini kerana, memang terdapat Melayu yang bukan Islam sekurang-kurangnya di luar negara kita.

AZ: Dalam perlembagaan kita, kita ada dua. Apabila disebut Melayu, maka perlembangaan menakrifkan Melayu sebagai etnik. Mereka tidak beragama Islam pun boleh terima takrif ini. Tetapi mereka yang bukan dari susur galur Melayu, mana boleh menjadi Melayu.

NM: Tetapi, bukankah manusia mengalami proses asimilisasi? Melayu juga terbentuk daripada perbauran sejarah.

AZ: Asimilisasi. Memang, boleh membentuk kepada apa yang kita namakan sebagai Melayu. Sejarah sebagai buktinya. Dalam istilah lain, ianya dinamakan sebagai transformasi bangsa. Mesir dan Qibti adalah contoh yang ketara. Apabila tentera-tentera daripada Semenanjung Arab membuka Mesir, lalu berkahwin dan beranak-pinak, orang Mesir mulai bercakap Arab dan beragama Islam. Lalu orang Mesir menjadi Arab. Hal yang sama juga berlaku di Afrika. Jadi, Mesir sekarang ini menjadi Republik Arab Mesir. Dalam konteks ini Qibti, menurut saya, ibaratnya Bumiputera di Malaysia ini.

NM: Ada beberapa pendekatan transformasi bangsa. Salah satunya adalah asimilasi. Namun, selain daripada itu ada juga integrasi, yang mana pendekatan integrasi tampaknya lebih harmoni dan demokratik berbanding asimilasi yang cenderung bersifat paksaan. Apa ulasan anda?

AZ: Kita ada dua pilihan. Bagi saya, asimilasi—seperti di Mesir dan Malaysia tersebut—bukannya paksaan. Ini kerana komuniti asal memeluk Islam secara sukarela. Sebaliknya, pendekatan paksaan ini macam di Indonesia atau Thailand. Paksaan, bermakna terdapat tekanan kepada semua orang untuk menggunakan satu Bahasa, termasuk dalam soal nama, percakapan awam dan sebagainya. Akan tetapi, dalam konteks yang saya sebutkan sebelumnya, sama sekali tidak berlaku paksaan. Orang itu [Mesir] bila masuk Islam, mereka masih lagi boleh bercakap bahasa ibunda mereka, mereka masih lagi mengamalkan adat mereka—hanya sahaja mereka masuk Islam sahaja. Dalam konteks kita, apabila kita bercakap bahasa Melayu pun, itu bukanlah bermakna kita tidak boleh bercakap menggunakan Bahasa lain. Malangnya, ini tidak berlaku di selatan Thailand. Begitu juga di Indonesia. Apa yang berlaku di sana adalah jelas sekali bersifat paksaan Nampak perbezaan dengan contoh Mesir tadi?

NM: Jadi, benarkah Malaysia mengamalkan pendekatan integrasi?

Baik, berbalik kepada integrasi. Menurut saya, di Malaysia tidak ada integrasi. Lebih tepat lagi, kita tidak ada dasar integrasi. Apa yang berlaku selama ini adalah integrasi politik. Maknanya, tokoh-tokoh kemerdekaan Malaya bersatu pada asas pembahagian kerusi dalam Parlimen, portfolio dalam Kementerian dan tugas-tugas dalam kehidupan masyarakat. Semua ini dibahagi-bahagikan antara mereka. Tetapi apakah berlaku integrasi? Tidak berlaku integrasi. Tidak ada dasar integrasi. Masalah ini yang berterusan sampai sekarang. Jika ini berpanjangan, maka sampai satu ketika nanti akan ada satu bangsa yang mahu menguasai bangsa yang lain—bahasa, pendidikan, pemikiran dan segalanya. Walaupun kita bercakap tentang keterbukaan dan semangat liberal demokratik, tetapi tidak sepatutnya identiti yang menjadi pertaruhan. Malangnya, apabila tidak jelas identiti, ataupun tidak dikuatkuasakan tentang identiti, jadi semua bangsa menganggap ini adalah negara asalnya. Sudahnya, Tanah Melayu tidak akan lagi menjadi bukan tanah orang Melayu. Bau-bau kepada idea ini sudah dapat dihidu. Kita dapat hidu menerusi slogan-slogan yang manis serta muncul melalui penghinaan terhadap bangsa Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu. Semua ini menjadi ketara kerana ada satu bangsa yang menganggap diri mereka sebagai superior. Jadi, sebab itu saya tegaskan bahawa pendekatan integrase memang tidak berlaku di Malaysia. Kalau berlaku, kenapa ancaman terhadap bangsa asal masih lagi berterusan? Soalan tanpa jawapan inilah yang makin mengesahkan lagi telahan saya.

NM: Tuan Haji ada sebut bahawa integrasi hanya berlaku di peringkat politik semata-mata. Akan tetapi, tidak berlaku dalam masyarakat Malaysia, secara umumnya. Oleh kerana kita bercakap tentang politik ini, maka bagaimana pula kedudukan yang sewajarnya untuk memposisikan Melayu dan bukan Melayu dalam politik? Apa model terbaik?

AZ: Bagi saya, model Islam adalah pilihan terbaik. Sebab Islam, kita akhirnya mengiktiraf agama dan budaya bangsa lain. Sekarang ini, apabila kita pergi pada format negara liberal demokratik, kita sebenarnya sedang melakukan usaha yang mustahil—usaha untuk menghapuskan perbezaan dari segi agama dan bangsa. Usaha ini seolah-olah kita mahu jadikan Cina sebagai bukan lagi Cina, India sebagai bukan lagi India dan Melayu sebagai bukan lagi Melayu. Mustahil! Kita mesti kembali kepada realiti dan terima hakikat. Dewasa ini, realiti sebenar dan hakikat nyata ialah persaingan dan perebutan. Setiap kaum bergeser demi kepentingan setiap kaum tersebut.

NM: Sebagai model terbaik, bagaimana model Islam menyelesaikan keadaan ini?

AZ: Model Islam itu maksudnya model yang pernah dilaksanakan di Madinah pada zaman Nabi Muhammad saw. Itu sebenarnya model yang dibangunkan dalam semangat “unity in diversity.” Namun, semangat kesatuan dalam kepelbagaian yang kita cuba lakukan selama ini amat melampau, sehingga ke tahap memaksa dan terlalu bebas tanpa kawalan.

NM: Maksudnya, sehingga sekarang ini? Di Malaysia ini?

AZ: Sekarang ini memang hendak dihapuskan perbezaan. Sebelum ini, walaupun kita kata baik dalam “unity in diversity” tetapi kita mengiktiraf perbezaan di antara kaum. Pokoknya, kita iktiraf dan terima. Masing-masing dapat hidup dengan cara tersendiri. Tetapi apa yang berlaku mutakhir ini adalah amat tidak terkawal. Tetapi berbalik pada model Islam yang diajukan tersebut, mak model masyarakat tersebut diselia oleh Islam. Kelebihan model Islam ini ialah ianya tidak mematikan bahasa, budaya dan amalan kaum lain. Semua ini diakui dan dibenarkan. Dalam kata lain, model Islam berupaya memilihara kebebasan agama, budaya dan bangsa. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini, daripada apa yang kita lihat hari ini, seolah-olah wujudnya negara dalam negara. Sistem pendidikan perlahan-lahan mula meninggalkan dasar-dasar kebangsaan. Jadi, menurut saya, ini adalah melampaui batas. Sudah keterlaluan.

NM: Tadi ada disebutkan betapa model negara Islam dapat memelihara kebebasan agama, budaya dan bangsa. Tetapi, bukankah semangat yang sama ini juga dipertahankan dalam negara warga (civil state) juga—di mana setiap orang ada hak masing-masing untuk mempertahankan identiti mereka, termasuk kepada golongan minoriti sekalipun.

AZ: Sebenarnya, negara warga suatu konsep yang tidak jujur. Sebab itu, Islam adalah agama yang lebih menyeluruh. Kita biasa dengar bahawa agama Islam adalah bersifat syumul. Sifatnya ini adalh mutlak. Islam bukan hubungan peribadi kita dengan Tuhan sepertimana yang dipegang oleh negara warga. Ini kerana, agama menurut negara warga hanyalah sangkaan-sangkaan, bukan satu hakikat yang betul. Dalam konteks ini, memang negara warga akan letakkan agama sebagai anggapan dalam batasa individu sahaja. Lebih mendukacitakan lagi, keadaan ini semakin parah apabila ada dalam kalangan mereka yang berbangsa Melayu berani mencabar kuasa Tuhan, seolah-olah Tuhan hanya sekadar suatu getaran semata-mata. Itulah tahap iman golongan tersebut. Tapi itulah tanggapannya. Kalau itulah mafhumnya dalam menjaga agama dan dalam makna kebebasan beragama, sudah pasti amat tidak sesuailah dengan Islam. Mafhum itu tidak sesuai dengan Islam. Ini kerana Islam adalah agama yang menyeluruh. Bila kita kata menghormati ataupun menjaga agama Islam, makna mestilah tegakkan panjinya dan benarkan Islam berdaulat. Dalam konteks ini, Islam mestilah menjadi identiti negara kita. Sekarang ada golongan yang hendak buang Islam daripada identiti negara. Jadi di mana kita boleh harapkan mereka untuk menjaga Islam? Sama sekali tidak mungkin, seperti “harapkan pegar makan padi.”

NM: Jika itu pendapatnya, maka bagaimana kita dapat menangani kumpulan minoriti ini? Adakah kita patut pergi kepada kebebasan dengan benarkan mereka berpendapat dan melakukan kegiatan dalam ruang awam? Yakni, dengan ini, kita juga akhirnya perlu berhujah secara rasional dengan mereka? Atau, kita mesti menutup sebarang ruang kepada demokrasi kerana ianya boleh mengancam status quo? Apa pandangan Tuan Haji dalam hal ini?

AZ: Dalam konteks Islam, ruang perdebatan, perbincangan dan perbahasan adalah luas. Tidak timbul tuduhan berlaku kekangan terhadap minoriti. Dalam Islam pun, ada berbelas-belas mazhab, di mana yang masyhurnya terdapat empat. Boleh jadi lima kalau dimasukkan Jabariyyah. Tetapi kalau kita pergi kepada mazhab yang lebih banyak, boleh sampai berbelas-belas. Itu mazhab sahaja. Dan kalau kita tengok amalan dalam Islam, lagi berencam: Baca Al-Fatihah— ada yang baca keras, ada yang lembut; ada tangan macam itu, ada tangan macam ini. Ruang perbezaan sememangnya luas di dalam Islam. Tetapi sebenarnya, kalau kebebasan itu dalam tujuan untuk mencari kebaikan, keadilan dan kebenaran, bagi saya itu tidak ada had. Malah, digalakkan dalam konteks Islam. Cuma dalam konteks dewasa ini, kebebasan ini digunakan secara tidak jujur. Sebagai contohnya LGBT. Untuk pastikan kita betul-betul bebas, terbuka, moderate, maka kononnya kita kena selesa dengan LGBT. Itu baru bebas. Maknanya kita kena terima benda maksiat dan mungkar sebagai suatu yang normal. Ini sama sekali bukannya membawa maslahat. Sebaliknya, ia membawa mafsadat. Apa yang kita cari dalam bernegara ialah rahmat, bukannya bala.

NM: Kalau kebebasan ada batasnya, maka bagaimana kita hendak menggariskan batas kebebasan tersebut?

AZ: Sebagai contoh, kita selalu sebut “ikra’ hafidin”, tidak ada paksaan dalam beragama. Ini bererti kita tidak boleh memaksa orang untuk mengucap dua kalimah syahadah. Jadi, ini adalah kebebasan yang dianjurkan oleh Islam. Dalam amalan-amalan yang dibenarkan oleh agama mereka, maka kita mesti benarkan mereka melakukan amalan-amalan tersebut. Mahu minum arak dalam rumah mereka? Kita benarkan. Mahu melakukan maksiat dalam rumah mereka? Kita benarkan. Akan tetapi, dalam konteks orang Islam pula, setiap daripada kita mestilah taat dan patuh kepada ajaran Islam kerana kita telahpun berikrar dengan Islam. Sekiranya kita sebagai Muslim melanggar ikrar dengan Islam, maka itu bukan lagi kebebasan. Di sini kita dapat lihat betapa indahnya kebebasan dalam Islam.

NM: Maksudnya. untuk orang Islam, dosa dan pahala adalah pembatasnya?

AZ: Benar, batas yang ditetapkan olehAllah swt ialah sempadan haram dan halal. Jadi, selama dia mengucap dua kalimah syahadah dan mengaku Islam, maka dia mesti guna ruang yang telahpun ditetapkan oleh Allah swt.

NM: Jadi, apakah negara berhak untuk menentukan batas yang mana dianggapnya telahpun ditetapkan oleh Tuhan?

AZ: Tentu sekali.

NM: Tetapi, itukan tidak konsisten dengan amalan kita sejak merdeka lagi. Sebagai contoh, kita tidak membuat undang-undang yang memaksa perempuan memakai tudung, walhal, kalau menurut Islam (atau versi Islam tertentu) itu berdosa juga? Adakah ini tidak konsisten dengan apa yang Tuan Haji cuba sampaikan?

AZ: Sebenarnya, dalam Islam pun dia ada tahap-tahap dalam melakukan tindakan: ada tindakan dalam bentuk perundangan, ada tindakan dalam bentuk dakwah, ada tindakan dalam bentuk nasihat, ada tindakan dalam bentuk amar makruf nahi mungkar dan sebagainya. Jadi, ada pelbagai ruang tindakan. Justeru itu, kalau terdapat kesalahan yang belum sampai tahap dihukum, maka mereka tidak dihukum. Tetapi, kalau kesalahan itu sampai tahap dihukum, maka mereka dihukum. Maksudnya, pasal tudung tadi— [kita perlu] memahami realiti itu sendiri. Kita kena lihat semua segi: kefahaman, penghayatan, persekitaran yang membentuk kepada kesalahan tersebut. Dalam kata lain, kita tidak boleh force dia dengan hukuman. Mungkin kita boleh bagi nasihat, teguran, dakwah. Lakukan tindakan ini dahulu.

NM: Kenapa persoalan tudung ini dibangkitkan kerana seolah-olah ada kecenderungan khalayak untuk bertudung. Kecenderungan ini sampai memaksa kepada kewujudan stigma yang membahagikan kelompok yang bertudung dengan yang tidak bertudung. Adakah ini wajar?

AZ: Sebarang kecenderungan untuk menormalisasikan tidak bertudung adalah tidak boleh dibenarkan. Sebab itu, sebarang percubaan untuk menormalisasikan hal tersebut kita tidak boleh terima. Adapun berdakwah kepada mereka, terangkan kepada mereka, membantu mereka, itu ibaratnya macam tudung juga. Kita berusaha untuk mengeluarkan mereka daripada lembah kegelapan. Akan tetapi, kalau mereka berkeras untuk menuntut normalisasi kepada tidak bertudung, maka itu tidak boleh. Malah, agama mana pun tidak menerimanya sebagai suatu yang normal.

NM: Adakah “mereka” ini termasuk dalam konteks suatu gerakan kumpulan?

AZ: Mereka yang saya maksudkan ialah suatu gerakan berkelompok, yang mahukan hak undang-undang diberi kepada mereka, sehingga mengiktiraf segala tindakan sekular mereka sebagai normal.

NM: Maka, kita perlu halang mereka?

AZ: Benar, mesti dihalang. Takkan kita boleh terima perkahwinan lelaki dengan lelaki. Mahu huru-hara sistem kekeluargaan Islam. Jadi apa yang kita perjuangkan sebenarnya adalah untuk kesejahteraan masyarakat itu sendiri. Kita sama sekali takkan benarkan ada manusia yang berkahwin dengan binatang, akad nikah dengan anjing, berkahwin dengan pokok dan sebagainya. Ini akan jadi huru-hara. Betul tidak? Kita cakap umum memang senang, tetapi cuba tengok berlaku pada keluarga masing-masing. Baru kita tahu betapa Islam merupakan suatu ajaran yang memang memandang masa hadapan, yang dapat mencegah sebelum mafsadah dan bala datang kepada kita.

NM: Kami tertarik bilamana Tuan Haji menyebut mengenai normalisasi sesuatu yang bercanggah dengan agama. Tetapi, bukankah suatu normalisasi itu sebenarnya ditentukan oleh masyarakat? Dalam hal ini, agama kadang-kala tidak menjadi piawaian sosial. Justeru itu, pendekatan beragama di Malaysia sudah tentu akan berbeza dengan pendekatan beragama di negara-negara lain lantaran corak persekitaran beragama sangat dipengaruhi oleh faktor sosial setempat. Keadaan pastinya akan mewujudkan norma yang berbeza antara kelompok Muslim mengikut persekitaran masing-masing. Jadi, bagaimana kita hendak menyatakan bahawa normalisasi ini bersifat mutlak, sepertimana Islam itu sendiri? Contohnya, adalah tidak normal untuk perempuan di Sudan memakai seluar. Bahkah undang-undang mereka tidak membenarkan perempuan memakai seluar kerana dianggap sebagai menyerupai lelaki. Norma ini ditentukan oleh masyarakat, bukannya agama.

AZ: Kadang-kala kita kena bezakan antara pandangan masyarakat dengan pandangan agama. Tadi itu apa yang disebut pandangan masyarakat dalam perihal normalisasi adalah merujuk kepada kebarangkalian bahawa agama ini sudah menjadi adat setempat. Jadi kadang-kadang agma bercampur dengan budaya. Dalam konteks ini, agama adalah budaya manakala budaya adalah agama.

NM: Maknanya, Tuan Haji bersetuju bahawa normalisasi juga boleh ditentukan oleh budaya?

AZ: Dari satu segi, saya bersetuju. Kita tengok di beberapa negara Arab di mana banyak yang diaplikasikan itu adalah budaya, bukannya agama. Begitu juga di Arab Saudi, di mana pada suatu masa dahulu perempuan tidak dibenarkan memandu kereta. Itu tentu sekali bukannya berasaskan agama meskipun ada hujah agama dari kalangan ulama mereka yang memperkukuhkan perkara tersebut. Sebab itu di Malaysia ini, kita lebih terbuka daripada kebanyakan negara Timur Tengah. Kita dalam banyak hal adalah lebih cenderung melihat sesuatu perkembangan dalam masyarakat berasaskan budaya, berbanding agama.

NM: Akan tetapi, mereka yang cuba mencabar normalisasi ini akan berdepan dengan stigma, kononnya mencabar status quo agama?

AZ: Ada dua masalah yang perlu kita bezakan di sini. Yang pertama, seruan kepada liberalisasi. Yang kedua berkenaan normalisasi. Bagi saya, liberalisasi adalah agenda luar, agenda asing, yang mempunyai maksud yang tidak baik.

NM: Liberalisasi?

AZ: Liberalisasi, benar. Liberalisasi ini perlu dihadapi dengan baik-baik kerana ianya bukan sekadar untuk mengubah budaya, paradigm dan norma, akan tetapi ianya mengandungi agenda tersembunyi untuk mengugat umat Islam. Sebab itu liberalisasi—mengikut acuan Barat—itu kita tidak terima.

NM: Boleh huraikan sedikit liberalisasi acuan Barat?

AZ: Ini perbincangan besar. Liberalisasi acuan adalah barang yang diimport dari Barat dengan Cuma menjadikan suatu idea sebagai bersifat sejagat. Ini kita namakan sebagai pembaratan yang dilakukan menerusi globalisasi, modenisasi dan sebagainya. Sebab itu bila kita cakap ‘moden’, dalam kepala kita muncul perkataan Barat. Moden itu maknanya merekalah: Barat!

NM: Maknanya, moden merupakan suatu pandangan-alam (worldview) terhadap dunia? Moden adalah bingkai.

AZ: Benar. Bingkai. Jadi, melalui pembaratan, nilai liberalisasi dapat diterapkan. Maknanya Barat memaksa liberalisme itu kepada dunia lain. Sebab itu kita berdepan dengan masalah pertembungan budaya ataupun apa yang disebut sebagai pertembungan tamadun: Clash of civilizations. Tetapi, fakta penting saya ialah Barat mahu memaksa liberalisasi di negara-negara bukan-Barat sehingga menganggap cara untuk maju ialah dengan menerima pembaratan. Ini yang dapat kita perhatikan di Malaysia, di mana ada yang cuba melakukannya dengan menanjurkan supaya ditinggalkan ttradisi Melayu. Bila diasing dan diremehkan budaya Melayu, bermakna mereka juga mahu mengasing dan meremah agama. Kita kena sedar perkara ini. Akhirnya, apa sahaja yang berkait dengan agama, akan dianggap sebagai mundur kerana tidak cukup moden. Paling parah, fahaman inilah yang menjadi akar kepada humanism. Sebab itu, adalah suatu perkembangan yang membimbangkan apabila kita boleh menerima dengan baik suatu bentuk penjajahan baharu yang menganggap liberalisme, humanisme, modenisme, begitu juga pluralisme dan positivisme sebagai sesuatu yang tidak bermasalah. Kita perlu ingat bahawa apa yang terjadi kepada Barat semasa Zaman Kegelapan bukanlah suatu kewajipan sejarah yang mesti dilalui oleh semua tempat. Apa yang berlaku pada Zaman Kegelapan tersebut adalah lambing kepada penindasan, di mana kezaliman gereja terhadap masyarakat Barat pada masa tersebut. Itu adalah pengalaman mereka yang tidak sewajarnya cuba dipaksa perjalanan sejarah yang sama terhadap sejarah bangsa-bangsa lain. Jadi, apa yang ingin saya tegaskan ialah kita tidak perlu meninggalkan Islam dan adat budaya Melayu untuk menjadi maju. Kita tidak sepatutnya ditakrifkan kemajuan dan kemodenan itu dengan Barat. Bahkan, Islam lebih unggul daripada konsep maju dan moden yang datang daripada Barat tersebut.

NM: Tetapi dewasa ini banyak yang menggunakan perkataan liberalisasi. Apakah perkataan tersebut juga salah?

AZ: Liberalisasi, untuk sesetengah keadaan, perkataan itu boleh dipakai.

NM: Sebenarnya, apakah ada kumpulan yang betul-betul menegakkan fahaman liberalisme di kalangan Melayu Islam di Malaysia?

AZ: Ada.

NM: Contoh?

AZ: Banyak! Ada parti politik, ada NGO, ada kumpulan masyarakat warga (civil society). Ini termasuklah Anwar Ibrahim dengan geng-geng dia dalam Institut Kajian Dasar (IKD) yang dikepalai oleh Khalid Jaafar.

NM: IKD?

AZ: IKD satu contoh. Tetapi perlu diingat, ada banyak lagi seperti Islamic Renainssance Front (IRF) dan Sister in Islam (SIS).

NM: Di kalangan bukan–Muslim?

AZ: Komas, Konrad-Adenauer-Stiftung, SUARAM, Lawyers for Liberty (LFL)… dan banyak lagi.

NM: Soalan lanjutan, jika kita boleh memanggil mereka sebagai liberal kerana mendukung fahaman liberalisme, maka adakah Tuan Haji bersetuju kalau mereka pula memanggil Tuan Haji sebagai konservatif kerana mendukung fahaman konservatisme?

AZ: Semua wacana ini adalah pembingkaian sekular. Istilah-istilah yang digunakan dalam wacana sekular. Kita takkan benarkan diri kita diperangkap dengan wacana sedemikian. Mereka yang belajar sains politik, boleh menggunakan istilah-istilah tersebut—seperti demokrat, konservatif dan sebagainya. Itu mafhum mereka. Akan tetapi, dalam Islam pula, kita mengggunakan istilah lain seperti ada yang ketat, ada yang longgar, ada yang bebas, ada yang seadanya. Tidak ada istilah konservatif. Kalau mahu tuduh kami sebagai konservatif, maknanya mereka ingin gambarkan kami ini tertutup dan tidak terbuka. Padahal kami tidak tertutup dan kami juga terbuka. Sebaliknya, merekalah yang sebenarnya tertutup dan tidak terbuka. Kalau mereka tidak tertutup dan terbuka, mereka sepatutnya menerima kebenaran agama Islam. Sebaliknya, mereka anti-Islam. Mereka bukan sahaja sangat keras dengan Islam, malahan mereka sentiasa mahu bermusuh dengan Islam. Itu tidak jujur. Misalnya, kalau mereka benar-benar tidak tertutup dan terbuka, bersediakah mereka untuk berhujah dengan ulama-ulama? Mereka tidak mahu. Itu tandanya mereka mengelak dan sekaligus mereka melambangkan kejumudan kaum liberal. Pendek kata, mereka boleh panggil ulama sebagai kolot, tetapi yang terpalit dengan panggilan tersebut, sebenarnya, adalah mereka lantaran gentar berdebat dengan ulama-ulama.

NM: Adakah ini kerana mereka juga ada persepsi negatif terhadap Islam?

AZ: Benar, persepsi. Lihat, adakah mereka jujur dalam mendefinisikan keterbukaan? Tidak jujur!

NM: Memang dewasa ini terdapat perbahasan mengenai survival orang Melayu dan Muslim di Malaysia—seolah-olah terdapat ancaman terhadap survival Melayu-Islam. Namun, kita perlu sedar juga bahawa negara kita telahpun merdeka selama lebih 60 tahun. Apakah tempoh tersebut kita telah gagal membina perpaduan? Berapa dekad lagi diperlukan untuk kita benar-benar melepasi tempoh integrasi?

AZ: Semua kegagalan ini adalah disebabkan kita telah pun memutuskan hubungan kita dengan saqafah kita, dengan sejarah kita. Bila kita merdeka, kita terap cara Barat, kita mencari kemajuan dengan cara Barat, kita mencari kemodenan dengan cara Barat. Lalu, bila cara ini menjadi dasar kita, maka secara sedar atau tidak sedar, kita telah membunuh bangsa sendiri. Misalnya, dulu kita ada Anglo-Melayu, yang dididik oleh Inggeris bagi memastikan mereka yang dijajah taat mendukung agenda penjajah tersebut. Akhirnya, agenda Malaysia menjadi agenda yang selari dengan hasrat penjajah—yang menentukan kiblat kepada Malaysia. Dan, kiblat kepada Malaysia ialah barat. Padahal, dalam sejarah Islam, banyak teladan yang kita boleh ambil. Apakah dalam sejarah Islam tidak ada kejayaan? Sudah tentu, ada, dan banyak pula. Kenapa kita tidak bongkar kejayaan kita daripada sejarah tersebut? Kenapa kita tidak menceritakan tentang kejayaan kehebatan bahasa kita yang ada dalam sejarah? Jawapannya: kerana kita anggap bahawa itu akan memundurkan kita. Akhirnya, generasi baharu kita—menerusi sistem pendidikan ala penjajah—merendah-rendahkan bangsa kita sendiri. Jadi, bila lahirnya generasi demi generasi, dengan fahaman yang kerdil terhadap bangsa sendiri, dengan buta terhadap kelebihan bangsa sendiri dan tidak nampak untuk maju dengan acuan sendiri, maka kerana itulah kita mutakhir ini terpinga-pinga dan tercari-cari. Kata orang, kita meraba-raba dalam kegelapan mencari pelita yang tidak kunjung temu.

NM: Jadi, apa yang membentuk Malaysia pada hari ini adalah hasil daripada salah pilih jalan sejarahnya?

AZ: Memang. Kita sudah salah pilih jalan sejarah kita. Kita telah salah pilih acuan. Salah pilih cara. Sepatutnya kita membangunkan negara kita sendiri, bebas daripada sehala pengaruh penjajah. Di negara China, kita lihat orang China yang bangunkan negara mereka sendiri. Di negara India, kita lihat orang India yang bangunkan negara mereka sendiri. Di negara Turki, kita lihat orang Turki yang bangunkan negara mereka sendiri. Semua mereka lakukan sendiri: daripada buat jarum, sampai kepada buat kapal terbang, buat roket, buat satelit, dan buat semuanya. Kita boleh buat apa? Tidak boleh buat apa-apa. Mereka mampun bangunkan bangsa sendiri menerusi kapasiti sendiri. Kita pula, tidak percaya dengan diri sendiri. Daripada awal-awal lagi kita tuduh bahawa Melayu ini malas, bodoh, itu dan ini. Kononnya, yang canggihnya adalah orang lain. Mereka semua adalah bertamadun, manakala kita adalah tidak bertamadun. Jadi, yang memandang rendah kita sebenarnya adalah kita sendiri.

NM: Jadi, adakah salah sekiranya kita memandang Jepun sebagai contoh?

AZ: Sebenarnya, sebahagian daripada kepandaian itu adalah daripada kita. Bahkan sebahagian besar daripada kekayaan itu daripada kita. Besi daripada kita, timah daripada kita, getah daripada kita, kelapa sawit daripada kita, sumber alam daripada kita. Daripada Sebelum Masihi lagi, kenapa kita suka jual bahan mentah dengan harga murah, tetapi kemudiannya kita beli semua dengan harga mahal. Sampai sekarang Johor, jual air dengan 3 sen segelen, beli balik dengan harga 50 sen. Susah sangatkah untuk memproses air sendiri?

NM: Jadi, adakah dilema identiti Melayu-Islam ini akibat daripada keterputusan daripada sejarahnya sendiri? Adakah ini kesimpulan Tuan Haji?

AZ: Lebih tepat lagi saya maksudkan bahawa kita sebenarnya telahpun memutuskan diri daripada peradaban kita. Kita tidak korek kebolehan, kekayaan, khazanah, keilmuan dan pencapaian datuk nenek moyang kita sebagai asas untuk kita bangunkan kemajuan negara kita.

NM: Tuan Haji ada sebut pencapaian—seolah-olah kita pernah ada zaman yang hebat. Sekarang, seolah-olah kita sedang berada pada zaman kemunduran. Adakah Melayu pernah mempunyai zaman keemasan yang boleh kita rujuk sebagai saat-saat kegemilangan?

AZ: Memang. Dahulu, kita adalah paling hebat dalam dunia maritim. Kita paling hebat, itu memang sejarah jelas. Kita pernah memiliki perlabuhan terkaya di dunia. Kita ada pernah membantu China dalam usaha membuat terusan untuk tujuan pertanian. Kita ada kepakaran pembuatan kapal. Kita boleh membina rumah tanpa paku. Zaman dahulu, kita sebenarnya sudah ada kemajuan, sudah ada pencapaian, sudah ada kegemilangan. Pada Zaman Srivijaya, kita adalah pusat pembelajaran bahasa. Maknanya sebelum 1511 dahulu orang belajar bahasa di tempat kita. Manakala bahasa Melayu dikuasai oleh negara-negara dunia dan sebagainya. Kalau nak banding kesesakan (pelabuhan) dahulu dengan sekarang, maka sebenarnya dahulu lebih sesak berbanding sekarang. Sampai 2000 kapal dagang masuk ke Melaka setiap hari. Berapa? 2000 kapal. Dan mereka mampu memiliki jongkong-jongkong emas yang sangat banyak. Dari segi kekayaan dan kemewahan, kita lebih awal mendahului. Dari segi pengurusan pula, kita sudah ada kanun, undang-undang dan pelbagai peraturan. Bila dikatakan Hang Tuah ini melawan lanun, maka tuduhan itu sebenarnya untuk memperkecilkan pandangan orang Melayu terhadap Hang Tuah—sebab dia hanya lawan lanun dengan keris dan dengan enam orang sahaja. Sedangkan, maksud sebenar ialah Hang Tuah inilah yang mengawal keselamatan laluan laut sampai ke Sulu, yang mengawal pelabuhan-pelabuhan di sekitar Selat Melaka. Pada masa tersebut, keadaan aman, selamat dan sejahtera kerana kejayaan Hang Tuah. Jadi Hang Tuah bukan lawan lanun semata, sebaliknya Hang Tuah yang memastikan laluan maritim daripada Selat Melaka ke Laut Sulu sentiasa makmur.

NM: Jadi, Hang Tuah menjaga Alam Melayu ini?

AZ: Sebenarnya ada penipuan serta usaha untuk merosakkan minda kita dengan menganggap bahawa Hang Tuah tidak hebat. Saya pernah buat lawatan ke Riau, bertemu dengan kawan-kawan di Lembaga Adat Riau. Mereka pernah duduk di London selamat 15 tahun serta membuat kajian mengenai Hang Tuah. Saya tanya dia saiz askar Hang Tuah ini banyak mana? Mereka menyatakan bahawa ada catatan yang menyebut saiz askar Hang Tuah ini ialah lebih ramai daripada penduduk Venice di Itali pada masa itu. Jadi kita Tanya pula penduduk Venice pada masa tersebut seramai mana? 60,000 orang! Maknanya, askar Hang Tuah adalah lebih daripada 60000 tentera. Dan kalau kita tengok dari segi fakta, macam mana dia enam orang sahaja hendak mengamankan Selat Melaka? Tidak, Hang Tuah dan enam orang berserta tentera-tenteranya. Mereka adalah laksamana raja di laut sekaligus bererti Hang Tuah adalah pemerintah di laut. Jadi banyak perkara pengetahuan yang digelapkan daripada pengetahuan kita. Sebab itu, kami buat kajian sendiri semula. Kami lihat fakta-fakta sebenar dan sebagainya sehingga kami menemui hakikat yang sangat berbeza. Misalnya, kalau diceritakan kapal Melayu ini yang kunjung berlabuh di pelabuhan China. Sebaik sahaja kapal Melayu masuk ke pelabuhan tersebut, maka kapal-kapal yang sedia ada berlabuh akan bergoyang, menunjukkan betapa besarnya kapal Melayu tersebut. Sampai dinding kapal Melayu pun ada empat lapis.

NM: Jadi masalahnya orang Melayu ini dia kerdil, takut dengan dirinya, tiada rasa kemampuan, kerana dia telah diputuskan dari sejarahnya.

AZ: Memang. Kita telah diputuskan daripada sejarah kita. Sebab apa? Sebab kita anggap Barat adalah lebih mulia dan agung.

NM: Jadi apakah langkah untuk kita berdepan dengan cabaran ini—cabaran untuk menyambungkan kembali dengan sejarah?

AZ: Dari segi jangka panjang, pertamanya kita kena mempunyai pandangan yang jelas terhadap peradaban Islam itu sendiri. Ini penting sebagai lawan kepada mereka yang melihat Islam itu tiada peradaban, seakan tidak boleh bawa kepada kemajuan. Ini kerana, setiap makna kemajuan telah dikaitkan dengan kemodenan dari barat, seolah hanya barat sahaja yang maju dan moden. Sebab itu, kita perlu ada konsep peradaban kita sendiri, dengan falsafah kita sendiri. Kena bangunkan dan terangkan pada masyarakat bahawa mereka sebenarnya ada peradaban sendiri dan melalui peradaban ini mereka boleh maju sendiri. Itu yang pertama. Manakala yang kedua pula kita kena besarkan pandangan alam orang Melayu terhadap tradis Melayu sendiri. Misalnya, mereka kena yakin bahawa bahasa dan ilmu Melayu adalah hebat. Rasa kebangaan dengan tradisi sendiri perlu dipupuk daripada sekarang.

NM: Mudahnya, jangan jadi malu dengan bangsa Melayu?

AZ: Kenapa perlu malu? Jangan malu jadi orang Melayu. Sebab itu masa kami mula-mula cakap mengenai survival orang Melayu pada tahun 2008, ramai yang hentam kami gila-babi. Tapi kita kata itu sahajalah cara untuk selamatkan dan sedarkan masyarakat. Pada masa tersebut, kami menanggung cemuhan, kutukan dan makian orang, sebab mereka semua tidak faham yang kami lebih awal faham. Waktu tersebut, bila saja sebut Melayu, maka ianya dianggap taboo.

NM: Takut dilihat sebagai rasis?

AZ: Benar, kita takut dianggap sebagai rasis jika bercakap sebagai Melayu. Sebab itu, kami lawan habis-habisan mereka yang mempertikaikan kehebatan Melayu. Dan hari ini Alhamdulillah kita tengok orang semua tidak malu lagi untuk bercakap tentang Melayu. Itu satu pencapaian yang kami rasa ada sumbangan di situ. Kami harapkan daripada sini dapat direncakan dan disatukan orang Melayu agra kembali mencintai bahasa, tanah air dan agamanya sendiri. Jadi itu langkah-langkah yang konkrit yang sedang kita laksanakan untuk memastikan arus yang mahu melemahkan orang Melayu dapat diperlahankan dan dihapuskan.

NM: Tetapi apakah menerusi tindakan politik merupakan langkah yang paling berkesan untuk kita mengubah masyarakat? Apakah ISMA akan mengambil sikap baharu yang bersifat pendekatan politik?

AZ: Kita selama inipun memang menyatakan pandangan dari sudut politik serta terlibat dalam gerak kerja yang mempengaruhi pendirian-pendirian politik. Itu satu tahaplah yang kita sudah buat. Pada masa hadapan, kita sedang mempertimbangkan dalam gerakan politik yang lebih nyata.

NM: Maksudnya sebagai parti politik?

AZ: Sebagai parti politik. Maknanya kita akan ada parti yang kita pilih dan ceburi untuk menyatakan pandangan kita dengan harapan pilihan ini dapat mempengaruhi pergerakan politik.

NM: Soalan terakhir, adakah ISMA percaya pada konsep bangsa Malaysia?

AZ: Saya tidak percaya konsep bangsa Malaysia.

NM: Jika tidak percaya, perlukan kita berusaha untuk menyatupadukan seluruh kaum di Malaysia di atas satu konsep?

AZ: Tiada konsep. Itu tidak akan berlaku. Itu semua tipu belaka. Sebab konsep bangsa Malaysia mempunyai agenda tersembunyi—sebagai alat untuk menguasai orang Melayu. Jadi bila cakap sahaja bangsa Malaysia, maka itu sebenarnya untuk mengelak menerima Melayu sebagai teras identiti kebangsaan. Tetapi hakikatnya penerimaan konsep Malaysia adalah untuk menipu, dengan niat untuk membina bangsa Malaysia di atas keruntuhan dan penindasan terhadap orang Melayu.

NM: Jadi, idea bangsa Malaysia sama sekali tidak relevan?

AZ: Berapa kali saya perlu ulang? Bukan sahaja tidak relevan, bahkan ia adalah agenda yang tersorok niat jahat!

Wawancara ini telah disiarkan oleh portal https://naratifmalaysia.com/.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close