Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

Umat Islam Kashmir dihalang solat Jumaat

Pusat beli-belah, masjid ditutup dan dikawal ketat pihak berkuasa

ISLAMABAD, 16 Zulhijjah 1440H, Sabtu – Umat Islam di Kashmir dihalang daripada memasuki masjid untuk menunaikan solat Jumaat semalam, susulan kawalan keselamatan yang ketat oleh India ke atas rantau itu.

India telah melaksanakan perintah berkurung dan menggantung hubungan komunikasi di Kashmir sejak 12 hari lalu, berikutan keputusan kerajaan memansuhkan Perkara 370 Perlembagaan yang memberikan autonomi kepada Jammu dan Kashmir.

Salah seorang penduduk yang dikenali sebagai Bashir Ahmed berkata, masjid di bandar berkenaan ditutup dan dikawal penuh dengan kenderaan pihak berkuasa yang bersenjata.

Katanya, pusat beli-belah bukan sahaja ditutup selain jalanraya menjadi lengang, malah  hubungan telefon dan perkhidmatan internet juga diputuskan di Kashmir.

Pada masa sama, langkah keselamatan dikukuhkan pada Khamis ketika India meraikan hari kemerdekaannya, selain saingan nuklearnya, Pakistan membuat perkara sama pada Rabu.

India pada 5 Ogos lalu membatalkan status khas Kashmir, wilayah majoriti penduduk beragama Islam dalam usaha New Delhi mengintegrasikan kawasan itu dengan negeri lain di negara berkenaan.

Warga Kashmir akan menghadapi prospek menjadi pendatang di tanah asal mereka sendiri apabila India mendefinisikan kewarganegaraan negara itu hanya sah jika selaras dengan nasionalisme Hindu.

Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah berkata, Kerajaan Persekutuan telah memansuhkan Artikel 370, peruntukan Perlembagaan yang memberi status istimewa Kashmir dan membenarkan negeri Jammu dan Kashmir menggubal undang-undang sendiri.

Perubahan itu juga membabitkan pembatalan larangan kepada orang luar untuk membeli tanah di Kashmir dan hak pekerjaan hanya kepada penduduk di wilayah itu sahaja. -Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close