Berita UtamaDuniaPalestinTimur TengahUtama

Israel serang Semenanjung Gaza

Jet pejuang Zionis sasar dua infrastruktur bawah tanah milik Hamas

TEBING BARAT, 16 Zulhijjah 1440H, Sabtu – Pesawat perang rejim pengganas Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza yang dikepung, sejurus selepas tenteranya menyerang dan mencederakan puluhan rakyat Palestin ketika protes anti-pendudukan berhampiran pagar yang memisahkan dua wilayah itu.

Israel dalam satu kenyataan mendakwa, jet pejuangnya melancarkan serangan ke atas dua infrastruktur bawah tanah yang dikatakan milik Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di bahagian utara dan tengah Semenanjung Gaza.

Tiada sebarang laporan mengenai kemungkinan berlaku kerosakan atau kemusnahan akibat serangan udara rejim itu.

Israel mendakwa, serangan berkenaan dilakukan kononnya sebagai tindak balas terhadap pelancaran roket yang didakwa dari Hamas ke atas wilayah pendudukan Israel semalam.

Katanya, roket berkenaan berjaya dipintas dan ditembak jatuh di selatan wilayah yang diduduki.

Serangan terbaharu itu berlaku beberapa jam selepas tindakan ganas ke atas rakyat Palestin sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 38 orang penunjuk perasaan cedera ketika protes anti-pendudukan di sempadan Gaza.

Protes mingguan – ‘The Great March of Return’ – adalah protes yang dilancarkan pada 30 Mac tahun lalu oleh ribuan rakyat Palestin di Gaza – kerana menderita akibat pengepungan Israel selama sedekad.

Langkah itu terpaksa diambil berikutan kesulitan hidup di Gaza serta ancaman yang sengaja dicetuskan pihak berkuasa Israel terhadap Baitulmaqdis.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, rejim Israel membunuh sekurang-kurangnya 305 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 17,000 yang lain sejak awal perarakan. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close