Berita UtamaPendapatUtama

Sudah tiba masanya tubuh hanya satu sistem persekolahan

Sekolah vernakular penghalang perpadun kaum di negara: Dr Mahathir

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu meninggalkan pejabatnya ketika menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4 pada akhir tahun 2003 pernah menyebut;

“Jika rakyat di negara ini sengaja ingin mengasingkan diri dengan berfikiran sekolah kebangsaan hanya patut dipenuhi kanak-kanak Melayu, sekolah Cina untuk kanak-kanak Cina dan Tamil untuk kanak-kanak Tamil saja, maka sudah tentu sukar untuk membentuk corak rakyat Malaysia yang ada sekarang ini.

Kemudian pada tahun 2012, ketika hangat kembali cadangan menghapuskan sekolah vernakular, Tun sekali lagi menyebut;

“Sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka dan sebagainya, maka kita akan ada tiga rakyat berlainan, dengan setiap satu bercakap dalam bahasa berbeza. Malah, saya berpendapat kita tak akan dapat hidup bersama sekiranya kita tidak memahami satu sama lain,” katanya yang dipetik Bernama.

Tahun 2014, Tun sekali lagi mengulangi pendirian beliau apabila melihat begitu banyak sekali Sekolah Jenis Kebangsaan Cina diberi kelulusan. Tun menyebut dalam blognya;

“Dengan perkembangan ini, anak daripada kaum berbeza hilang semua peluang untuk membesar bersama – anak Melayu ke sekolah kebangsaan, anak Cina ke sekolah rendah dan menengah Cina, dan India ke sekolah Tamil,” terang beliau.

Tahun ini, apabila Tun menduduki kembali kerusi Perdana Menteri Malaysia, beliau sekali lagi menyatakan pendirian beliau. Tun menyebut bahawa sekolah vernakular menjadi penghalang perpaduan kaum di Malaysia;

“Ini bermakna berlainan bangsa pergi ke sekolah yang berbeza. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain dan apabila mereka tamat sekolah, mereka pergi bekerja dengan kaum lain yang tidak mereka kenali. Ini menjadi penghalang kepada perpaduan negara,”

Saya melihat bahawa sudah tiba waktunya untuk kita menilai semula Sekolah Vernakular di Malaysia.

Dalam menelusuri detik-detik Malaysia Baharu, dalam kita mahu ‘membina semula negara’ ini kita perlu jujur dan berani.

Tidak ada mana-mana negara di seluruh dunia hatta negara jiran kita yang paling hampir, Singapura pun tetap mengangkat sistem pendidikan satu aliran walaupun mereka juga berbilang bangsa.

Baru-baru ini ketika Menteri Kewangan membentangkan belanjawan 2019, kecoh apabila melihat bagaimana kerajaan seolah-olah tidak melakukan analisas keperluan yang mendalam ketika mengagihkan peruntukan.

Dan ini menimbulkan polemik ketidakpuashatian dalam kalangan rakyat.

Saya kira, jika hasrat Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad diteruskan iaitu meletakkan asas pendidikan kita kepada sekolah satu aliran sahaja, polemik seperti ini tidak akan berlaku.

Anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan dan anak Iban, semua anak kita, dan semua duduk belajar dalam satu sekolah yang sama, menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bahasa perpaduan seluruh anak Malaysia!

Bila saya amati balik ucapan Tun ketika mahu meninggalkan Pejabat Perdana Menteri ke-4 tahun 2003 itu, maka tahulah saya, mengapa Tun ketika awal mengangkat sumpah menyatakan hasrat beliau mahu memegang portfolio Menteri Pendidikan.

Wahai seluruh anak bangsa Malaysia, sudah tiba masanya untuk kita menjadi lebih berani untuk menyatakan bahawa kita tidak lagi memerlukan sekolah vernakular demi sebuah masa hadapan Malaysia yang lebih baik dan harmoni.

Hidup Rakyat!

Hazwan Mohamad,
Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close