Berita Utama

Pemandu Myvi terbabit kemalangan maut positif dadah

Kereta hilang kawalan sebelum rempuh dua kenderaan lain

BANGI, 23 Safar 1442H, Ahad – Pemandu Perodua Myvi yang terbabit kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru, Kota Tinggi semalam – kini dalam tahanan polis – didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, ujian saringan ke atas pemandu wanita berusia 23 tahun itu mendapati dia positif dadah dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira 9 pagi itu berlaku apabila pemandu Perodua Myvi hilang kawalan dan melanggar tembok pembahagi jalan sebelum merempuh Honda Accord dan Proton Iswara di persimpangan lampu isyarat menghala Plaza Pelangi.

“Akibatnya, Perodua Myvi dan Honda Accord terbalik dan pemandu Honda Accord parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Beliau berkata, pemandu Proton Iswara berusia 78 tahun pula cedera.

Sebelum ini, tular rakaman kamera perakam video berdurasi 37 saat memaparkan kemalangan kereta Honda Accord berwarna putih terbalik selepas dilanggar kenderaan lain dalam kejadian berhampiran dengan lampu isyarat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button