Berita Utama

Tindakan Najib dalam kes SRC memalukan negara: Hakim

Ini bukan sesuatu boleh dikata demi kepentingan negara

PUTRAJAYA, 3 Jamadilawal 1443H, Rabu – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd bukan demi kepentingan negara tetapi hanya memalukan negara.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata Najib terlibat secara aktif dalam memastikan RM4 bilion pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC International disalurkan kepada syarikat itu tetapi selepas dana itu dikeluarkan, perayu (Najib) tidak mengambil peduli mengenai dana tersebut.

Dalam penghakiman 54 muka surat, Hakim Abdul Karim berkata bekas perdana menteri itu tidak menyoal SRC International tentang apa yang berlaku kepada dana itu, mahupun bagaimana ia digunakan dan bagi tujuan apa.

“Malah, beliau mengarahkan Menteri Kewangan kedua ketika itu (Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah) supaya tidak mengambil tahu hal SRC.

“Kelakuan perayu boleh menunjukkan hanya satu perkara, iaitu sebaik sahaja dana itu telah diperoleh SRC International, yang perayu mempunyai kawalan penuh, beliau bebas menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

“Ini ditunjukkan melalui pengaliran RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya. Ini bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan telah dilakukan demi kepentingan negara. Tiada kepentingan negara di sini, cuma memalukan negara,” kata Hakim Abdul Karim yang menyampaikan keputusan itu bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button