Berita UtamaPendapat

Bagaimana kematian kita nanti?

Perubahan besar dilakukan Rasulullah ﷺ dalam diri para sahabat adalah membina hala tuju dan matlamat hidup yang jelas buat mereka

SALAH satu perubahan terbesar yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dalam diri para sahabat adalah membina hala tuju dan matlamat hidup yang jelas buat mereka. Baginda menanam sifat cintakan Islam sehingga mereka menjadikan matlamat hidup mereka semuanya adalah untuk Islam.

2. Lihatlah bagaimana Saidina Mus’ab mengubah hala tuju hidupnya menjadi pemuda yang mengabdikan dirinya untuk Islam. Rasulullah ﷺ pernah menangis ketika melihat penampilan Mus’ab di Madinah yang meninggalkan kemewahan dunia untuk Islam. Perkara ini diceritakan oleh Saidina Ali yang menyebutkan:

إِنَّا لَجُلُوسٌ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي المَسْجِدِ إِذْ طَلَعَ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ مَا عَلَيْهِ إِلَّا بُرْدَةٌ لَهُ مَرْقُوعَةٌ بِفَرْوٍ، فَلَمَّا رَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَكَى لِلَّذِي كَانَ فِيهِ مِنَ النِّعْمَةِ وَالَّذِي هُوَ اليَوْمَ فِيهِ

“Ketika kami sedang duduk di Masjid, lalu datang Mus’ab ibn Umayr dengan pakaian yang bertampal. Apabila Rasulullah ﷺ melihat Mus’ab, Baginda menangis kerana mengenangkan kehidupan mewah yang pernah dinikmati oleh Mus’ab.” (HR al-Tirmizi).

3. Ketika suasana sengit di dalam Perang Uhud, Mus’ab jugalah antara pejuang yang mempertahankan Rasulullah ﷺ. Beliau memegang panji Islam dengan tangan kanannya. Musuh datang lalu menebas tangan Mus’ab sehingga putus.

4. Ketika lalu dihadapan jenazah Mus’ab yang syahid di medan Uhud, Rasululullah ﷺ sangat sebak. Baginda terkenangkan perjuangan Mus’ab yang menjadikan dirinya semuanya untuk Islam. Baginda lalu membacakan ayat:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

5. Mus’ab adalah contoh sahabat yang mempunyai hala tuju yang jelas. Kehidupan beliau menjadi inspirasi bagi menentukan hala tuju dan matlamat kehidupan kita. Kematian beliau menunjukkan betapa pentingnya keikhlasan amalan semasa hidup membimbing kesudahan yang baik.

6. Persoalan ini perlu ditujukan sebagai muhasabah buat diri kita. Bagaimana kesudahan hidup yang kita inginkan? Sekiranya kita mengharapkan pengakhiran sebagai seorang muslim, maka hiduplah sebagai seorang muslim dan bersamalah dalam memartabatkan Islam.

Semoga Allah mengurniakan kita matlamat hidup yang jelas. Semoga Allah mengurniakan kita impian memartabatkan Islam di bumi ini. Semoga Allah menganugerahkan kita kesudahan yang mulia.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close