Berita UtamaUtama

Sah Nora Anne

Proses bedah siasat mayat remaja Ireland hari ini: Polis

SEREMBAN, 13 Zulhijjah 1440H, Rabu – Mayat wanita berkulit cerah yang ditemui tengah hari Selasa adalah Nora Anne Quoirin, 15, remaja yang dilapor hilang dari sebuah resort 4 Ogos lepas.

Pengecaman mayat itu dibuat oleh keluarga remaja berkenaan di Hospital Tuanku Jaafar di sini, kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop

Beliau berkata, proses bedah siasat mayat itu akan dijalankan 10 pagi ini di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar.

“Bedah siasat mayat Nora Anne akan dijalankan oleh Senior Patologi dari Kuala Lumpur,“ katanya pada sidang akhbar di HTJ malam tadi.

Mohamad berkata, polis akan memohon Senior Patologi dari Kuala Lumpur untuk hadir ke hospital itu bagi proses bedah siasat.

“Bedah siasat akan dijalankan hari ni dan kami akan lihat keputusan dan hasil bedah siasat,” katanya.

Mayat Nora Anne tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada jam 7.07 malam selepas dibawa dengan helikopter yang mendarat di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban pada kira-kira 6.45 petang.

Mayat kemudian dibawa dengan van Angkatan Pertahanan Awam serta diiringi sebuah kereta peronda polis dan dua anggota polis trafik yang menaiki dua motosikal.

Ahli keluarga Nora Anne tiba di Jabatan Forensik HTJ dalam keadaan tergesa-gesa bagi mengelak gambar mereka dirakam media pada jam 8.40 malam.

Turut kelihatan di Jabatan Forensik HTJ Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Nora Anne disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close