Berita Utama

Tubuh jawatankuasa khas pastikan pemecahan monopoli tak jejas pelanggan, pemegang taruh

Perlu pastikan wujud pilihan syarikat tawar khidmat sama yang lebih baik

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 6 Ramadan 1444H, Selasa – Penghapusan semua monopoli yang wujud di dalam negara seperti diusahakan kerajaan ketika ini akan banyak memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia, kata Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Fakulti Perniagaan Putra Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Menyambut baik usaha tersebut, beliau berkata, inisiatif ini sudah pasti akan menggalakkan persaingan sihat antara syarikat selain meningkatkan keyakinan pelabur ke dalam negara.

Pun begitu, beliau mengesyorkan kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas (task force) untuk memastikan pelaksanaan pemecahan monopoli tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa menjejaskan pelanggan dan pemegang taruh yang lain.

Selain itu, katanya, tindakan ini juga wajar diperhalusi kerana kerajaan perlu memastikan wujudnya pilihan syarikat yang mampu menawarkan perkhidmatan sama, malah lebih baik daripada syarikat monopoli terdahulu.

“Kerajaan perlu memastikan syarikat yang ingin bersaing mampu menandingi khidmat disediakan syarikat sebelum ini. 

“Ini supaya pengguna atau pelanggan mendapat perkhidmatan terbaik dan tidak terbeban dengan penyedia perkhidmatan yang baharu.

“Dalam tempoh sepenggal pemerintahan kerajaan hari ini mungkin kerajaan boleh memfokuskan kepada monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Puspakom Sdn Bhd (PUSPAKOM) dan Touch ‘n Go (TNG) terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Monopoli adalah penguasaan sepenuhnya terhadap sesuatu barangan perdagangan atau perkhidmatan dalam pasaran tertentu oleh seseorang atau sesebuah syarikat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengkaji semula semua syarikat yang menikmati monopoli pada masa lalu sebagai usaha memastikan perkhidmatan yang ditawarkan lebih berdaya saing antara mereka.

Katanya, semua kementerian telah diminta mengkaji syarikat monopoli sedia ada di bawah bidang kuasa mereka untuk menggalakkan pembangunan ekonomi yang telus serta persaingan yang adil.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button