Berita UtamaUtama

Mayat wanita Singapura ditemui

Mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk pengecaman, bedah siasat

MERSING, 13 Zulhijjah 1440H, Rabu – Mayat wanita dipercayai salah seorang daripada dua warga Singapura yang dilapor hilang ketika berkayak di perairan Endau, di sini, Khamis lepas, ditemui di perairan Kemaman, Terengganu, tengah hari tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, mayat lengkap berpakaian dan memakai jaket keselamatan itu ditemui terapung kira-kira 12.50 tengah hari di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, oleh nelayan tempatan.

“Mayat kemudian disahkan tiba di Maritim Malaysia Zon Kemaman pada 4.30 petang dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk pengecaman keluarga serta bedah siasat,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat yang diwujudkan di Jeti Penyabong, Endau, di sini, hari ini.

Haris Fadzillah berkata, lokasi mayat ditemui adalah 18 batu nautika dari kayak milik dua warga Singapura, ditemui semalam, manakala 100 batu nautika dari lokasi terakhir dua warga Singapura itu iaitu lelaki, Tan Eng Soon, 62, dan wanita, Puah Geok Tin, 57, dilapor hilang, Khamis lepas.

Beliau berkata, waris yang berada di Pangkalan Hadapan Carilamat sudah dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu dan akan ke Kemaman hari ini, untuk membuat pengecaman.

Katanya, berikutan penemuan mayat berkenaan, sektor pencarian menggunakan aset udara oleh agensi penyelamat kini diperluaskan sekitar 600 batu nautika persegi perairan Kuantan, Pahang sehingga ke Kerteh, Terengganu.

“Dengan penemuan terbaharu itu juga, buat masa ini, pencarian di pulau-pulau sekitar perairan Endau dihentikan sementara, kerana kita sudah melakukan pencarian di kawasan berkenaan,” katanya.

Khamis lepas, Tan dan Puah dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

Mereka dipercayai terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close