Berita UtamaUtama

Isu Zakir Naik: Kula Segaran lemahkan imej kerajaan

Naib Presiden DAP tanpa segan silu sanggah keputusan PM

BANGI, 13 Zulhijjah 1440H, Rabu – Kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berhubung isu Dr Zakir Naik bukan sahaja memalukan diri sendiri malah melemahkan imej kerajaan.

Ia berikutan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah beberapa kali menegaskan bahawa Dr Zakir tidak akan dihantar pulang ke India, sebaliknya Kula Segaran tanpa segan silu menyanggah pendirian perdana menteri, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.

“Kenyataan Kula Segaran bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri dalam keadaan isu itu yang masih belum dipertimbangkan semula oleh Jemaah Menteri. Beliau juga menyatakan Zakir Naik adalah pelarian yang tidak memahami sejarah Malaysia.

“Kenyataan ini sangat aneh kerana Kula Segaran sendiri pernah mengatakan bahawa bangsa Melayu adalah pendatang dan penduduk asal beragama Hindu. Kenyataan beliau telah dibidas oleh pakar sejarah kerana kenyataan berkaitan sejarah negara yang bersifat spekulasi dan faktanya yang lemah.

“Hal ini lebih membangkitkan kemarahan orang Melayu dan boleh melemahkan perpaduan kaum,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kula semalam yang menggesa tindakan diambil terhadap Dr Zakir kerana mempersoalkan kesetiaan masyarakat Hindu di negara ini.

Menggunakan kenyataan rasmi Kementerian Sumber Manusia, Kula yang juga Naib Presiden DAP itu mahu membawa isu status penduduk tetap yang dimiliki penceramah terkenal itu ke mesyuarat Kabinet.

Beliau menyifatkan keberadaan Dr Zakir di negara ini merupakan sesuatu yang memalukan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Menyelar tindakan itu, Ahmad berkata, kenyataan Kula jelas adalah pandangan peribadi kerana ia dikeluarkan bukan atas kapasitinya atau tanggungjawabnya sebagai menteri sumber manusia.

“Oleh itu, tidak wajar pendapat peribadi itu dikeluarkan di bawah kepala surat menteri. Jika kenyataan yang dikeluarkan oleh Zakir Naik itu boleh mencetuskan ketidakstabilan dalam masyarakat, biarlah rakyat sendiri yang membuat laporan polis dan kenyataan itu boleh disiasat dengan sewajarnya.

“Kula Segaran juga tidak wajar menggunakan kedudukannya sebagai menteri untuk mengeluarkan kenyataan politik bagi memenangi undi bangsa India,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close