Berita UtamaKolumnisUtama

Henti hina penjawat awam

Penjawat awam bantu pentadbiran negara, tetapi PH jadikan musuh

1) DEWASA ini, penjawat awam sering dijadikan ‘punching bag’ atau sasaran kritikan sebahagian pihak termasuk pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH). Yang terkini adalah kritikan kepada ahli pasukan keselamatan kita iaitu pihak tentera, yang cukup menghina dan tidak mengambil kira pengorbanan dan risiko yang mereka hadapi.

2) Salah satu alasan yang dibuat dalam mengkritik penjawat awam adalah mengenai saiz, dominasi sesuatu kaum, perbelanjaan dan produktiviti. Perbandingan saiz penjawat awam selalunya dibuat dengan tidak teliti dan adil.

3)Beberapa bulan lepas, seorang felo kanan dari Sekolah Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah menyatakan hal ini dengan memberi satu contoh, sekiranya klasifikasi penjawat awam di Australia dibuat seperti Malaysia (yang mengambil kira penjawat awam berunifom, dalam sektor pendidikan, kesihatan dan lain-lain), ia akan menjadi sekali ganda saiznya (mengikut nisbah kepada penduduk) dari Malaysia.

4) Selain itu, menuduh penjawat awam mensabotaj pentadbiran, menyokong penyelewangan, tidak berwibawa dan sebagainya telah menyebabkan penjawat awam amat berasa hati, sedangkan mereka adalah tunggak pentadbiran negara yang telah bertungkus-lumus menjayakan pembangunan negara.

5) Tidak dinafikan segelintir kecil penjawat awam mempunyai rekod yang buruk atau terlibat dalam rasuah, tetapi keseluruhannya mereka adalah golongan yang berintegriti dan berwibawa. Kita semua sedia maklum, hanya dengan melihat kepada laporan audit negara untuk semua kementerian, yang dibentangkan di Parlimen setiap tahun membuktikan perkara ini. Walaupun ada beberapa kes tetapi ianya hanya melibatkan sebahagian kecil penjawat awam dan jabatan.

6) Adalah amat mendukacitakan sekali pemerintahan PH seolah-olah menjadikan penjawat awam musuh mereka, sedangkan kerjasama dan sokongan penjawat awam amat diperlukan dalam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

7) Sudah banyak kes-kes rasuah yang berlaku di zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan mungkin juga sedang berlaku dalam zaman PH ini yang tidak mustahil, sebahagiannya adalah berpunca dari kerakusan ahli-ahli politik sendiri yang memaksa kehendak mereka ke atas penjawat awam.

8)Parti BERJASA amat menghargai sumbangan besar penjawat awam dan meminta mereka bersabar dan terus memberi sumbangan yang sewajarnya dengan ikhlas demi kebaikan negara. Parti BERJASA akan terus membela penjawat awam yang berintegriti dan berwibawa dari terus dihina dan diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

9) Hukum mereka yang bersalah dan bukannya menyalahkan penjawat awam amnya yang mana sebahagian besarnya amat komited dan bersih dari penyelewengan.

10) Dan yang paling penting, jika bercakap mengenai pengecilan (‘downsizing’) sektor penjawat awam, buatlah kajian dengan adil dengan merangka satu struktur penjawat awam yang optima dan sesuai dengan keperluan dan kemampuan kewangan negara.

11) Kita tidak mahu sektor pendidikan dan kesihatan nanti, menjadi mangsa disebabkan persepsi dan kritikan kepada penjawat awam, sedangkan ianya akan memberi kesan yang besar kepada rakyat dan negara.

Cukup-cukuplah menghina dan memperlekeh penjawat awam!

Dato’ Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz,
Presiden BERJASA

Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close