Berita UtamaUtama

Pemandu teksi, bas tidak daftar SKSPS akan dikompaun

Hanya 50,801 dari 316,000 pemandu daftar, carum dengan Perkeso

KUALA LUMPUR, 12 Zulhijjah 1440H, Selasa – Pemandu teksi, bas dan e-hailing yang belum berdaftar serta mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan dikenakan kompaun, mulai hari ini.

Tindakan itu dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selepas dua tahun isu itu berlarutan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pelaksanaan kompaun itu dimulakan selaras penguatkuasaan Ops Patuh, yang dilancarkan 31 Julai lalu.

Katanya, Ops Patuh itu dilaksanakan bukan untuk menyusahkan pemandu teksi, bas dan e-hailing, sebaliknya bagi menjaga kebajikan mereka dan keluarga.

“Kita sudah beri masa yang lama kepada pemandu teksi, bas dan e-hailing kerana skim ini sudah diperkenalkan sejak dua tahun lalu, ” katanya.

Beliau dilaporkan berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PERKESO, hari ini.

Mohammed Azman menegaskan, hanya 50,801 pemandu teksi, bas dan e-hailing yang sudah mendaftar serta mencarum dengan SKSPS.

“Jumlah yang berdaftar itu masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan 316,000 pemandu direkodkan mendaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Semalam seorang pemandu teksi mengalami kemalangan dan maut, nasib baik beliau berdaftar dengan skim ini pada 1 Ogos lalu dan isteri serta anak beliau kini layak mendapat pencen bulanan dan faedah lain di bawah skim ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya kini melipat ganda usaha mengesan mereka yang masih gagal berdaftar dan mencarum.

“Mereka yang gagal berdaftar dan mencarum jangan takut untuk berdaftar sekarang. Mereka yang tidak berdaftar jika disabitkan kesalahan boleh di penjara dua tahun dan di denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close