Berita UtamaUtama

Mayat ditemukan dipercayai Nora Anne

Terlalu awal untuk nyatakan punca kematian, kata Timbalan KPN

SEREMBAN, 12 Zulhijjah 1440H, Selasa – Siasatan awal polis menunjukkan bahawa mayat seorang gadis berkulit putih ditemui di sepanjang sungai di Pantai Hills dekat sini, ialah remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, polis masih menunggu ibu bapanya untuk mengenal pasti mayat tersebut sebelum kenyataan rasmi dibuat.

“Di pihak kami, kami sangat yakin ia dia. Tetapi kita tunggu keluarganya untuk mengesahkannya,” katanya kepada pemberita di balai polis Pantai.

Beliau berkata, sekumpulan pengembara terjumpa badan Nora Anne dalam sungai kira-kira 2.5km dari resort tempat keluarganya menginap pada jam 1.57 petang, hari ini.

Katanya, mayat itu ditemui tanpa sebarang pakaian, tetapi menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk mengatakan jika ada unsur jenayah yang terlibat dan akan diketahui setelah pemeriksaan bedah siasat selesai.

“Kami telah menghantar jenazah ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat,” katanya.

Ketika ditanya pemberita sama ada terdapat sebarang kecederaan yang kelihatan pada badan mayat tersebut, Mazlan berkata, ini belum dapat dipastikan lagi.

Selain itu, beliau berkata, terlalu awal untuk memastikan berapa hari si mati telah meninggal serta punca kematiannya.

Nora Anne yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di resort The Dusun, di Pantai, sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close